PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak perwakilan yang menyertai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 bermula hari ini untuk menjadikan persidangan itu sebagai pentas menyampaikan suara akar umbi yang menjadi tunjang kekuatan parti.
Naib Presiden UMNO itu turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan dari seluruh negara.
“Jadikan persidangan ini untuk menyatakan suara akar umbi yang menjadi tunjang kekuatan dan semangat perjuangan parti yang kita cintai ini.
“Semoga Allah merahmati setiap bibit perjuangan parti keramat UMNO dan mengangkat darjat kebesaran maruah bangsa dan negara. UMNO, sebuah perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
PAU 2021 sepatutnya diadakan pada 13 hingga 15 Januari lalu, namun ditunda kepada 16 hingga 19 Mac ini selepas banjir teruk yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor dan Pantai Timur.
Seramai 2,891 perwakilan dijangka hadir pada Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2021 yang diadakan serentak pada hari ini sehingga esok, manakala 2,680 perwakilan akan menghadiri PAU 2021 yang berlangsung pada 18 dan 19 Mac. – UTUSAN