KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) kekal dengan pendirian bahawa isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Sabah harus menjadi keutamaan untuk diselesaikan Kerajaan Persekutuan.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan Filipina mahupun waris Sultan Sulu tidak mempunyai hak dari sudut perundangan untuk membuat tuntutan terhadap Sabah.
Menurutnya, Sabah adalah wilayah yang berdaulat dan menjadi sebahagian daripada Malaysia seperti diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan untuk itu tuntutan Filipina mahupun waris Sultan Sulu tidak harus dilayan.
“Saya percaya di bawah Persekutuan Malaysia, isu berkaitan tuntutan sebegini harus diselesaikan oleh Putrajaya dan Wisma Putra. Sudah berulang kali saya menyatakan Malaysia perlu mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu ini dan bukannya membiarkan isu ini tergantung begitu sahaja.
“Keputusan Mahkamah Timbang Tara Paris mengenai bayaran pampasan RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu merupakan sesuatu yang mengejutkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee harus berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan dengan mengaitkannya selaku bekas Ketua Menteri dengan tuntutan waris Sultan Sulu.
“Kedua-dua mereka tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan akhbar dengan maklumat tidak sahih sekiranya mereka tidak faham isu perundangan berkaitan isu tuntutan ini.
“Untuk pengetahuan, saya tidak pernah ke Sepanyol dan sepanjang pengetahuan saya, tiada pegawai dari Sabah dihantar ke Sepanyol bagi kes ini. Saya percaya Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara telah mengendalikan kes ini dan akan menghentikan tuntutan waris Sultan Sulu menerusi penghakiman di Madrid.
“Malah, berdasarkan penjelasan Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara, Malaysia sudah menghentikan tuntutan yang dibuat waris Sultan Sulu di Sepanyol. Namun, kes ini telah dibawa ke Perancis oleh penimbang tara Ganzalo Stampa dan keputusan dibuat di Mahkamah Paris pada Februari lalu,” katanya.
Mohd. Shafie berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri menyatakan Malaysia akan mencabar keputusan Mahkamah Paris.
Oleh yang demikian, beliau menasihatkan agar Anifah dan Teck Lee supaya membaca penjelasan daripada Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara serta kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai isu tuntutan waris Sultan Sulu tersebut.
“Ini jelas menunjukkan isu ini diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan dan bukannya Sabah dan langsung tidak melibatkan saya. Isu ini juga tidak seharusnya dipolitikkan dan sebagai rakyat Sabah, kita seharusnya bersatu bagi melindungi kedaulatan negeri ini,” katanya. – UTUSAN