KOTA KINABALU: Hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kecoh apabila ADUN Dilantik, Datuk Seri Yong Teck Lee mengaitkan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dengan isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Sabah.
Perkara itu dibangkitkan semasa Mohd. Shafie selaku Ketua Pembangkang DUN Sabah membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah.
Teck Lee mempersoalkan penglibatan Mohd. Shafie di Mahkamah Sepanyol dalam isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.
Mohd. Shafie menyatakan, isu tuntutan tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan yang seharusnya berbincang dengan kerajaan Filipina.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan, Datuk Annuar Ayub (STAR-Liawan) bangun dan mendakwa bekas Ketua Menteri itu pernah mengeluarkan kenyataan seperti dipetik melalui portal berita bahawa kerajaan negeri membantah keputusan bahawa Sabah bukan milik Filipina malah, menghantar Peguam Besar Negeri, Siti Zaleha Rose ke Semananjung Iberian untuk mencabar tuntutan itu.
Annuar bertanya apa bidang kuasa Mohd. Shafie mengeluarkan arahan sedemikian jika isu itu adalah isu antarabangsa.
Mohd. Shafie (Warisan-Senallang) sekali lagi menjelaskan bidang kuasa membincangkan isu tuntutan tersebut merupakan bidang kuasa persekutuan.
Jelas beliau, kerajaan persekutuan harus mengambil tindakan serius bukan hanya mengenai perkara itu tetapi, juga tentang keselamatan Sabah yang tidak boleh dipandang ringan.
Semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan, Presiden Warisan itu mengingatkan Yong Teck Lee bahawa isu tuntutan tersebut tidak seharusnya dipolitikkan sebaliknya, fikirkan langkah mengatasi masalah keselamatan di Sabah.
“Jangan kita politikkan tentang perkara-perkara yang tak menyelesaikan masalah. Apa saya nakkan adalah kita atasi masalah keselamatan di pantai timur yang kebetulan berhubung kait dengan negara jiran, Filipina.
“Kerajaan negeri tiada kuasa, saya selaku Ketua Menteri ketika itu tiada kuasa berunding dengan kerajaan Filipina,yang ada kuasa adalah kerajaan Persekutuan kerana kita merupakan wilayah di bawah naungan Malaysia.
“Perlu ada kejelasan dalam kenyataan, jangan sebut perkara yang saya tidak nyatakan,” katanya. –UTUSAN