Isu sotong babi: Jakim hubungi badan halal China - Utusan Malaysia

Isu sotong babi: Jakim hubungi badan halal China

TANGKAP layar hantaran menerusi media sosial mengenai isu gegelang sotong yang didakwa sebagai hirisan organ dalaman babi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menghubungi agensi pensijilan halal di China bagi menyemak kesahihan produk gegelang sotong negara tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengesahkan pihaknya kini menunggu maklum balas sebelum tindakan susulan isu berkenaan dilakukan.

“Jakim telah menghubungi Shandong Halal Certification Services (SHCS) bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk itu,” kata beliau menerusi kenyataan di sini hari ini.

Isu itu kecoh menerusi media sosial tempatan susulan tular gambar mengenai gegelang sotong yang diragui didakwa warganet konon diperbuat daripada hirisan dubur atau usus babi.

Rentetan itu pada 4 Mac lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusof memaklumlan agensi itu menyiasat isu berkenaan yang dipercayai produk dari China.

Ia dikatakan keluaran kilang di wilayah Shandong manakala negara itu pula ada enam badan pensijilan halal termasuk SHCS dengan induknya, Persatuan Islam China di ibu kota Beijing.

Mengulas lanjut, Idris memberi jaminan, Jakim bersama-sama Jabatan Agama Islam dari Perlis, Kedah dan Selangor telah mengambil tindakan awal ‘turun padang’ sebaik sahaja isu tersebut tular.

“Ini termasuk pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan proses penyiasatan telah dijalankan selain sampel diambil untuk dianalisis lanjut. Satu perbincangan telah diadakan baru-baru ini dan hasil laporan mesyuarat tersebut memaklumkan bahawa Jabatan Kimia Malaysia masih melakukan analisis dan pengesahan.

“Justeru keputusan siasatan muktamad akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa yang berkaitan setelah hasil analisis makmal dikeluarkan Jabatan Kimia Malaysia. Kerajaan memberi jaminan bahawa jika terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak, kita akan mengambil tindakan tegas demi memelihara kemaslahatan masyarakat Islam,” katanya.

Pada masa sama katanya, sekiranya ada keraguan terhadap produk tertentu di pasaran, pengguna boleh membuat aduan dan rujukan terus kepada Jakim untuk penjelasan yang lebih lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya