Isu sosej Thailand: sampel di pasaran tempatan patuh tahap ditetapkan - Utusan Malaysia

Isu sosej Thailand: sampel di pasaran tempatan patuh tahap ditetapkan

SERAMAI 14 kanak-kanak mengalami gangguan darah selepas makan sosej yang mengandungi asid nitrik dan asid benzoik berlebihan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hasil analisis yang dijalankan terhadap 207 sampel produk hasilan daging termasuk sosej di pasaran tempatan dan pintu masuk mendapati kesemuanya mematuhi tahap ditetapkan.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd. Salim Dulatti berkata, analisis yang dijalankan itu bagi mengetahui tahap kandungan nitrit susulan laporan oleh Food and Drug Administration (FDA), Thailand mengenai produk sosej diuji mengandungi nitrit melebihi paras dibenarkan oleh FDA Thailand.

“Bagaimanapun, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kedutaan Thailand berkenaan produk sosej yang terlibat.

“Justeru, bagi melindungi kesihatan pengguna, Kementerian Kesihatan akan meneruskan pemantauan keselamatan makanan di pasaran tempatan dan pintu masuk negara agar ia mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menerusi laporan media, seramai 14 kanak-kanak di Thailand mengalami methemoglobinemia iaitu sejenis penyakit gangguan darah selepas makan sosej tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Salim berkata, nitrit adalah sejenis bahan pengawet makanan yang sering digunakan dalam produk hasilan daging bagi merencatkan pertumbuhan bakteria di samping menyerlahkan warna makanan.

“Pengambilan nitrit pada kadar berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu cepat merasa letih dan penat, sukar untuk bernafas, pening dan sakit kepala, berdebar-debar dan kelihatan pucat.

“Di Malaysia, produk hasilan daging (manufactured meat) seperti sosej boleh mengandungi nitrit pada paras tidak melebihi 80mg/kg selaras dengan standard antarabangsa Codex,” katanya. 

Tambah beliau, pengguna pula boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq sekiranya mempunyai lain-lain isu berkaitan keselamatan makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya