KOTA TINGGI: Mahu membantu mempercepat proses perumahan generasi kedua Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama. tu antara tekad calon Barisan Nasional (BN) di kerusi itu sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Norliza Noh yang juga Naib Pengerusi Wanita Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Johor Bahru berkata, rata-rata kehadirannya ke kawasan Felda diaju dengan soalan berhubung perumahan tersebut.
“Di Johor Lama saya tidak gerak seorang, kami bersama MBFM bagi mencari jalan bagaimana hendak mempercepat permasalahan rumah generasi kedua. Memang rata-rata bila kita masuk ke Felda rumah generasi kedua menjadi soalan pertama ditanya.
“Insya-Allah itu kita bantu percepat dalam macam mana cara sekali pun dan kita akan bincang semula nanti,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di sekitar kawasan gerai belia di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, hari ini.
Norliza berkata, usahanya turut tertumpu kepada sektor pelancongan yang ada di kawasan DUN itu bagi membantu golongan muda memperoleh peluang pekerjaan.
Katanya, bagi kawasan kampung, beliau]mempunyai perancangan untuk memperkenal lagi produk pelancongan dari segi sosioekonomi agar dapat mengurangkan anak muda keluar dari kampung mereka.
“Di kawasan kampung juga, kita dapati dari segi pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang terjejas, anak-anak muda tiada sumber pendapatan. Kita akan buat satu persatu untuk membantu mereka,” katanya. – UTUSAN