KUANTAN: Orang ramai diminta supaya tidak sewenang-wenangnya menyalahkan mana-mana pihak dalam isu membabitkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dipersoalkan oleh pensyarahnya mengapa dia tidak memiliki komputer riba.
Pengerusi Eksekutif Trizure International (M) Sdn. Bhd., Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk latar belakang pelajar berkenaan sama ada beliau ada memperoleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau sebarang bentuk bantuan-bantuan lain.
“Jika dia (pelajar) berkenaan ada dapat PTPTN atau bantuan lain, kenapa dia tidak memperuntukkan untuk pembelajarannya? Mungkin dia ada masalah lain, sebagai contoh, dia terpaksa tanggung adik-adiknya pula untuk belajar.
“Jadi banyak kemungkinan yang perlu dilihat, tambahan lagi pelajar terbabit sudah pun sampai semester ke lima, bukan pelajar baru masuk, sudah tentu dia ada masa lama mendapatkan komputer riba untuk dia belajar dengan lebih sempurna demi masa depannya.
PERCUMA
“Sekiranya dia benar-benar tidak mampu untuk mendapatkan komputer riba, kita di Trizure International sedia membantunya untuk diberikan secara percuma,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu tular sebuah video berdurasi satu minit 45 saat tentang tindakan seorang pensyarah sedang bertanya kepada pelajarnya mengapa pelajar tersebut tidak memiliki komputer.
Menerusi video itu, pensyarah tersebut mempersoal tentang sokongan kewangan keluarga kepada pelajar terbabit.
Difahamkan, pensyarah itu mengajar dalam bidang pengurusan fasiliti di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) di UiTM Kampus Seri Iskandar, Perak.
Zuhairi berkata, beliau dalam isu itu lebih mengambil dari sudut positif apa yang diperkatakan oleh pensyarah tersebut.
“Maknanya, dalam kita membantu biasanya kita bagi pancing bukan kita bagi ikan, jadi dengan pancing itu dia dapat memancing sebanyak mana pun ikan yang dia perlukan, sampai bila-bila pun boleh guna pancing itu, bukan dengan cara kita beli ikan berikan kepadanya.
“Sama juga dengan ilmu, dengan ilmulah dia dapat membawa dirinya untuk masa depan. Sebab itu pensyarah tersebut minta kakak pelajar terbabit jual apa sahaja yang ada tidak kiralah gelang emas sekalipun untuk kepentingan ilmu adiknya kerana ilmu lebih mustahak dari segalanya.
“Cuma kesilapan pensyarah itu apabila dia memarahi golongan B40 dan ayatnya, dia tidak berminat untuk berurusan dengan B40, itu yang merosakkan matlamatnya dalam pendidikan untuk mendidik golongan B40,” katanya. – UTUSAN