Isu penempatan haram Bukit Malut sekadar mainan politik?

Isu penempatan haram Bukit Malut sekadar mainan politik?

PENDUDUK membantah pembinaan rumah baharu untuk mereka yang tinggal di penempatan haram Bukit Malut, Langkawi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penduduk tempatan di pulau ini menganggap isu penempatan haram Bukit Malut di sini, hanya dijadikan sekadar mainan politik oleh pemimpin yang mahukan undi penduduk.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Langkawi, Ali Selamat berkata, pemimpin politik didapati hanya memainkan isu penempatan haram Bukit Malut bagi mendapat manfaat politik.

Katanya, sekiranya tiada permainan politik dalam isu penempatan Bukit Malut, pastinya ia tidak tertangguh begitu lama.

“Isu ini telah berlaku selama lebih 30 tahun tetapi sehingga kini tiada tindakan dilakukan sedangkan pemimpin seperti MB (Menteri Besar) dan Tun Mahathir (Mohamad) telah memberi beberapa kenyataan kepada media.

“Cadangan MB untuk mengekalkan lokasi penempatan di situ kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) sedangkan pengerusi MKN negeri adalah dirinya sendiri, ibarat memperbodoh penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Farizal Padzil, 42, yang tinggal di Pantai Chenang di sini, menentang sekeras-kerasnya pembinaan rumah baharu untuk penduduk di petempatan haram Bukit Malut.

“Masih ada ramai penduduk yang tidak mempunyai rumah atau tanah sendiri, tetapi mereka tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan walaupun daripada golongan yang tidak mampu.

“Tetapi penduduk lain berusaha sendiri dengan mencari rumah atau bilik untuk disewa, dan bukannya tinggal secara percuma di tanah milik kerajaan,” ujarnya.

Bagi Asyraf Zulkifli, 38, pula, dia menganggap petempatan haram Bukit Malut adalah titik hitam di pulau yang menjadi destinasi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa itu.

“Bukit Malut boleh dikatakan adalah sisi gelap Langkawi yang mana ramai penduduknya tidak mempunyai dokumen sah, namun terus menetap di situ dan mendapat bantuan daripada kerajaan.

“Kita banyak menunjukkan kepada pelancong asing keindahan Langkawi, sedangkan petempatan Bukit Malut itu sebenarnya mencacatkan imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” ujarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilapor mencadangkan kepada MKN supaya membina sebanyak 1,200 buah rumah baharu secara tersusun untuk memindahkan penduduk di penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi.

Menurut beliau, rumah baharu tersebut bakal dibangunkan di kawasan seluas 24 hektar daripada 77 hektar tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang terletak di Bukit Malut itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya