Isu MAPS: Tiada penipuan dalam proses skim pemiutang PCBD

Isu MAPS: Tiada penipuan dalam proses skim pemiutang PCBD

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri menafikan dakwaan pembangkang berlaku penipuan dalam proses skim pemiutang syarikat Perak Corporation Berhad Development (PCBD)  dalam projek Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru dekat sini yang ditutup sejak lebih setahun lalu akibat masalah kewangan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam isu skim pemiutang syarikat itu, ia telah mendapat kelulusan lembaga pengarah dan para pemegang saham syarikat serta pemiutang. 

Menurutnya, malah langkah itu juga dipersetujui oleh Mahkamah Tinggi. 

“Justeru adalah tidak benar untuk menuduh berlakunya fraud atau penipuan sedangkan perkara ini sudah pun dibawa dan diputuskan oleh mahkamah. 

“Lebih-lebih lagi Perak Corp. sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di bawah Bursa Malaysia dipantau dan dikawal selia dengan ketat oleh Bursa Malaysia,” katanya ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Semalam, sidang DUN Perak kecoh selepas Chong Zhemin (PH- Keranji) mengeluarkan kenyataan yang berunsur tuduhan dalam sesi perbahasannya dengan menyatakan isu PCBD dikatakan sebenarnya lebih besar daripada isu MAPS yang mencatatkan kerugian sebanyak RM700 juta.

Dalam sesi penggulungan hari ini, Saarani sebaliknya mempersoalkan tindakan Zhemin yang membangkitkan isu itu sedangkan ADUN Keranji itu dan ADUN Teja pernah menjadi antara pengarah syarikat Perak Corp. dari tahun 2018 hingga tahun 2020. 

Menurut beliau, selama dua tahun dalam Perak Corp, kenapa dua ADUN itu tidak berusaha untuk menyelamatkan Perak Corp.

“Sedangkan Keranji sebagai pengarah syarikat dan juga Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corp. sudah tentu mempunyai pengetahuan mendalam mengenai situasi Perak Corp ketika itu.

“Harus diingat, Perak Corp diletakkan di bawah PN17 ketika Keranji dan Teja adalah ahli Lembaga Pengarah,” katanya.

Saarani berkata, barisan pihak pengurusan dan lembaga pengarah Perak Corp. yang baharu telah melaksanakan beberapa langkah pemulihan termasuk proses penyelesaian hutang, penggulungan syarikat PCBD serta proses regularisasi. 

Katanya, hasilnya, Perak Corp mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, malah harga sahamnya telah meningkat ke paras 45 sen pada 24 Mac lalu.

“Ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa langkah-langkah pemulihan yang dilaksanakan oleh pengurusan baru bukan sahaja tepat, malah telah membuahkan hasil,” katanya. 

Saarani harap, perkara ini tidak perlu lagi dibahas atau didebatkan dalam persidangan Dewan kerana ia tidak mendatangkan apa-apa faedah. 

“Malah, tindakan membuat tuduhan secara melulu bukan sahaja merencatkan proses pemulihan, malah boleh menjejaskan kepercayaan pelabur terhadap Perak Corp,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya