Isu bina universiti: Dr. Salmee dapatkan pandangan  SPRM

Isu bina universiti: Dr. Salmee dapatkan pandangan  SPRM

DR. Salmee Said (tengah) diiringi Asmirul Anuar Aris (kiri) dan Nashitoh Kassim hadir ke Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr. Salmee Said hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sini, hari ini, bagi mendapatkan pandangan berhubung isu konsultan didakwa meminta wang RM4 juta bagi pembinaan asrama sebuah universiti di Kuala Ketil, dekat sini.

Menurut beliau, pertemuan itu diadakan bagi menentukan tindakan untuk membersihkan nama baik beliau yang didakwa membuat fitnah berkaitan isu terbabit ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu lalu.

Katanya, ketika ini beliau sedang berbincang dengan pihak peguamnya mengenai kemungkinan untuk mengambil tindakan terhadap laskar siber serta individu tertentu, yang didakwa menjejaskan reputasi serta kredibilitinya.  

“Perkara ini dibawa ke media sosial sampai satu dunia tahu seolah-olah saya ini buat fitnah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya bukan buat fitnah sebaliknya cuma minta penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu pembinaan asrama universiti itu sahaja.

“Sekiranya perkara ini tersebar dan rosakkan nama baik saya, saya akan buat dakwaan dan saya memiliki barisan peguam yang bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat prima facie dalam kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas keluar dari Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini. Yang hadir Setiausaha Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris dan peguam, Nashitoh Kassim.

Pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Jumaat lalu, Muhammad Sanusi mencabar pihak yang mempunyai bukti berlaku salah laku rasuah membabitkan pembinaan asrama di universiti tersebut tampil segera membuat laporan kepada SPRM.  

Cabaran itu dibuat susulan tindakan Dr. Salmee yang meminta penjelasan Muhammad Sanusi mengenai dakwaan sebuah syarikat kontraktor yang perlu membayar sebanyak RM4 juta melalui konsultan universiti berkenaan bagi mendapatkan tender pembinaan asrama universiti itu.

Ditanya mengenai pertemuan bersama SPRM tersebut yang turut disertai Setiausaha Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris serta peguam, Nashitoh Kassim, beliau berkata, kehadirannya ke situ bukanlah kerana dipanggil SPRM untuk memberi penjelasan berhubung kes tersebut.

“Kami sebenarnya hadir ke sini secara sukarela bagi mendapatkan pandangan suruhanjaya itu terhadap isu tersebut. Kami difahamkan perkara ini di dalam pengetahuan SPRM dan terpulang kepada mereka untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Salmee turut mempersoal tindakan Muhammad Sanusi ketika membuat penggulungan dalam sidang DUN tersebut kerana didakwa ‘terpekik’ dan ‘terlolong’ memarahinya.

“Saya hanya meminta penjelasan mengenai perkara itu. Yang Menteri Besar nak terpekik terlolong marah saya kenapa, sedangkan saya hanya mohon penjelasan dari beliau?” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya