GEORGETOWN: Kerajaan Pusat berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Kedah dan Perak dapat mencari penyelesaian terbaik berhubung isu pembekalan air melibatkan ketiga-tiga negeri tersebut.
Ini kerana menurut Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, sumber air merupakan satu keperluan bukan hanya kepada manusia malah penting untuk sektor pertanian.
Jelasnya, sektor air dan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sekali gus berharap pihak terlibat dalam mencari penyelesaian lebih konkrit dan bermakna.
“Di pihak kementerian, kita mengalu-alukan persefahaman antara kerajaan negeri yang terlibat untuk untuk menyelesaikan isu terbabit demi kemudahan penduduk serta tanaman dan kita yakin ia akan dicapai seterusnya memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Ke-24 Persatuan Kebangsaan Bagi Pengairan dan Saliran Malaysia (Manco) di sini hari ini.
Ahmad ditanya berhubung risiko kepada sektor pertanian di Pulau Pinang selepas usaha kerajaan negeri itu mendapatkan bekalan air mentah dari Perak melalui Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) tidak dapat dipenuhi oleh Kerajaan Negeri Perak.
Dalam maklum balasnya sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, negeri itu khususnya di bahagian utara juga menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah untuk kegunaan pelbagai sektor seperti industri, komersial, pertanian dan kediaman penduduk.
Dalam masa sama, Pulau Pinang juga berdepan tekanan daripada Kerajaan Negeri Kedah yang berterusan menuntut bayaran sumber air yang diambil negeri itu dari Sungai Muda.
Sementara itu, ditanya mengenai situasi bekalan makanan negara khususnya menjelang sambutan Ramadan dan musim perayaan tidak lama lagi, Ahmad berkata, bekalan tersebut ketika ini adalah mencukupi dan stabil.
Malah ujar beliau, pihaknya juga sentiasa membuat unjuran berkenaan bekalan makanan itu sebagai contoh bekalan ayam segar yang mana akan ditambah di pasaran pada bulan berikutnya sekiranya terdapat laporan berlakunya kekurangan. – UTUSAN