HADIR gig itu biasa. Dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan, sangat banyak gig dianjurkan di seluruh Malaysia sepanjang beberapa bulan ini. Tetapi untuk hadir gig di tengah-tengah tapak perkhemahan di tengah hutan, diserikan pula aktiviti permotoran, ini bukan biasa-biasa.
Ini keunikan yang dibawakan jenama pakaian, Istikomaterror atau Istikoma untuk acara Istirahat yang akan diadakan pada 26 Mac ini di Nurjannah Eco Resort, Pekan Nanas, Pontian, Johor.
Menggabungkan tiga elemen iaitu muzik, permotoran dan kegiatan luar, Istikoma berhasrat mempertemukan ketiga-tiga komuniti ini dalam satu acara.
“Ada antara kami dahulu sering hadiri acara konvoi dan permotoran tapi sekarang tidak lagi. Ada yang sering hadir acara muzik tapi sekarang tidak lagi. Ada yang dahulu sering berkhemah dan sertai sukan lasak tapi sekarang tidak lagi.
“Kami anjurkan acara ini supaya silaturahim antara kami dapat disambung semula,” kata pengasas Istikoma, Chucky.
Tidak mahu mengehadkan kehadiran dalam kalangan peminat muzik semata-mata, Istikoma berjaya mengatur satu acara yang memenuhi kehendak ketiga-tiga komuniti tersebut.
Satu hari yang padat
Bermula 2 petang, pengunjung akan disajikan dengan permainan muzik berterusan di dua pentas berbeza genre. Pentas Terror menampilkan muzik yang lebih keras dengan penampilan enam kugiran iaitu Dum Dum Tak, Changes, DeritaXTerus, Explicit, Muddled dan The Dicksons. Pentas Wide & Roll pula menampilkan Motherwit, Mappels, RUNS, Gatera, Operahaus, Construction for Destruction dan Late Night Frequency.
Kenapa Wide & Roll? Kerana kugiran yang beraksi di pentas itu merupakan pilihan rakan media Istirahat, Malaya Roll dan LUAS.
Tidak cukup dengan itu, acara permotoran juga akan dijalankan serentak dengan persembahan muzik pada sebelah petang sebelum acara tamat pada 10 malam.
“Dalam aturcara, kami akan tamatkan semua aktiviti pada pukul 10 malam supaya pengunjung boleh ambil masa untuk berborak santai, makan dan membina rangkaian sesama mereka. Pengunjung yang mahu bermalam juga boleh menyewa tapak khemah atau rumah inap di kawasan acara.
“Ia berbalik kepada tujuan utama Istirahat ini dianjurkan. Untuk memberi ruang kepada kawan-kawan berehat sambil menikmati minat mereka dan menyambung semula silaturahim yang renggang,” jelas Chucky.
TEROKA PEKAN NANAS
Melihat lokasi acara ini, agak aneh juga kerana kebiasaannya acara muzik diadakan di Johor Bahru. Istikoma menampilkan kelainan dengan membawa peminat muzik, permotoran dan aktiviti luar ke Pekan Nanas, Pontian: tempat lahirnya jenama Istikoma.
Bagi Chucky, ini peluang untuk memperkenalkan Pekan Nanas yang semakin pesat membangun kepada peminat muzik dan permotoran dari luar. Lebih baik lagi, penganjuran acara di kawasan terbuka seperti ini dapat mengusir kebimbangan pengunjung tentang peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
“Ada antara kami yang trauma untuk berada beramai-ramai dalam ruang tertutup kerana Covid-19. Memang di ruang terbuka juga ada kemungkinan berlaku penyebaran wabak itu tetapi sekurang-kurangnya kami dapat mengurangkan risiko.
“Kami juga akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengawal penularan Covid-19 dalam acara ini nanti,” jelasnya.
Menjawab berkenaan faktor Pekan Nanas dipilih, Chucky teruja untuk perkenalkan pengunjung dengan tarikan di pekan kecil itu.
“Di sinilah Istikoma bermula, sekumpulan anak muda yang punya impian untuk menempa nama. Tambahan pula, Pekan Nanas tidak lagi membosankan seperti lima atau enam tahun lepas.
“Banyak tempat menarik yang kami boleh perkenalkan kepada mereka yang berkonvoi ke sini, termasuk kawasan pelancongan yang baru diperkenalkan. Pekan ini juga sudah membangun dengan wujudnya beberapa kilang, termasuk kilang pemprosesan nenas terbesar di Asia Tenggara. Bundle Benut, ramai yang kenal tapi pernah sampai?” kata Chucky.
Tali saudara
Gig muzik tidak semestinya perlu terikat kepada matlamat memperkenal kugiran dan melayan muzik semata-mata. Selitan matlamat lain seperti menghubungkan komuniti juga baik dan boleh membantu memajukan lapangan muzik.
Istirahat menawarkan pengalaman berbeza untuk pengunjungnya. Dengan penglibatan komuniti permotoran dan sukan lasak, kugiran yang terlibat dapat memperluas pengaruh mereka kepada komuniti berbeza.
Jika anda berminat dengan acara ini, buka telefon pintar dan cari Istikomaterror di semua platform media sosial. Tempah tiket segera dan persiapkan diri untuk satu pengalaman muzik yang baharu.