ARAU: Seluruh warga kerja Universiti Malaysia Perlis (Unimap) perlu memastikan integriti menyeluruh dan positif dipratikkan dalam usaha menghadapi Covid-19 secara bersama.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, soal integriti bukan hanya memberi fokus terhadap isu rasuah semata-mata, sebaliknya satu konsep yang lebih luas.
Titah baginda, antaranya integriti dalam memberi perkhidmatan terbaik demi memenuhi kehendak pemegang taruh dan integriti ketika berhubung dengan ketua jabatan, kakitangan sokongan serta para pelanggan khususnya membabitkan status kesihatan masing-masing dalam konteks menghadapi Covid-19.
“Mereka juga perlu sentiasa berusaha untuk belajar sesuatu yang baharu dan multitasking. Ini adalah untuk memastikan keupayaan membantu dan memastikan urusan tugas yang ditinggalkan oleh rakan sekerja terkesan dengan Covid-19 dapat berjalan lancar,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) Unimap 2021 di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam Unimap Pauh Putra, di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro Canselor Unimap, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Raja Datuk Azwane Raja Ariff dan Naib Canselor, Prof. Dr Zaliman Sauli serta para pegawai kanan universiti.
Antara anugerah yang disampaikan pada majlis tersebut ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (133 orang), Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (34 orang) dan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (93 orang).
Seterusnya, baginda tidak mahu rakyat Perlis dan warga Unimap secara khususnya leka dan alpa dengan keadaan Covid semasa. – UTUSAN