PETALING JAYA: Setiausaha Agung baharu DAP, Anthony Loke Siew Fook mengambil pendekatan kepimpinannya dengan menekankan aspek inklusif dan konsensus.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, beliau berkata, segala keputusan penting dan hala tuju parti akan diputuskan melalui konsensus (kesepakatan bersama) selepas perbincangan teliti dijalankan.
Selain itu, jelasnya, beliau akan meneruskan tradisi parti untuk menyediakan peluang sebanyak mungkin untuk golongan muda dalam parti daripada pelbagai latar belakang untuk memaksimumkan bakat kepimpinan termasuk peluang mewakili parti dalam pilihan raya.
“Perjuangan politik DAP pula akan terus berlandaskan kepada semangat dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kepentingan rakyat Malaysia daripada semua latarbelakang dan kedaulatan negara akan terus dipertahankan.
“Kami sedar bahawa perjuangan politik DAP masih ada jalan panjang dan ruang yang luas untuk diperkembangkan. Kami akan berusaha sedaya upaya mendekati rakyat menyakinkan mereka bahawa perjuangan kami adalah ikhlas.
“Saya amat sedar bahawa jawatan Setiausaha Agung DAP adalah satu tanggungjawab sangat besar. Saya akan memastikan segala usaha untuk menjaga integriti dan kredibiliti institusi jawatan ini dengan sebaik mungkin,” katanya.
Semasa proses pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam semalam, ahli Parlimen Seremban itu diumumkan sebagai Setiausaha Agung baharu DAP untuk memimpin parti.
Selain itu, bekas Penasihatnya, Lim Kit Siang mengumumkan bersara daripada politik selepas 56 tahun berada dalam parti dan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Iskandar Puteri pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang serta tidak bertanding dalam Kongres Ke-17 parti itu semalam.
Lim Guan Eng, yang juga anak Kit Siang mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Setiausaha Agung yang disandang selama 18 tahun lalu selaras dengan perlembagaan parti yang mengehadkan tempoh penggal penyandangnya. –UTUSAN