Indeks jenayah turun bukti kredibiliti PDRM - Utusan Malaysia

Indeks jenayah turun bukti kredibiliti PDRM

ISMAIL Sabri Yaakob ketika perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 tahun 2022 di Pulapol Kuala Lumpur. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penurunan indeks jenayah negara membuktikan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keamanan amat tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, momentum itu dapat dilihat apabila jenayah indeks bagi tahun lalu menunjukkan penurunan iaitu 52,974 kes berbanding 65,623 kes pada 2020.

Kata beliau, bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula, jenayah indeks turut menurun kepada 8,484 kes berbanding 9,773 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jelas beliau, tugas kepolisian dalam menangani kes jenayah semakin kompleks, lebih-lebih lagi dengan kewujudan teknologi dan pelbagai aplikasi media sosial yang disalahgunakan untuk perbuatan jenayah.

“Semua ini menuntut PDRM menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan demi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 tahun 2022 di Pulapol Kuala Lumpur dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Perbarisan pagi ini melibatkan seramai 629 orang pegawai dan anggota.

Selain itu, sambutan pada hari ini turut dimeriahkan dengan acara fly pass melibatkan tiga buah pesawat udara iaitu dua helikopter Airbus AS355 dan sebuah Leonardo AW139 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang membawa bendera Malaysia dan PDRM.

Mengulas lebih lanjut, kata Ismail Sabri, sepanjang dua tahun ini, Keluarga Malaysia terpaksa melalui kehidupan yang amat mencabar dan memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak bagi mengurangkan beban akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, walaupun hampir seluruh kekuatan jentera pasukan telah dikerahkan untuk penugasan itu, PDRM tetap komited dalam mengimbangi keutamaan perkhidmatan memerangi jenayah dan mengekalkan keharmonian masyarakat serta keamanan negara.

“Saya menghargai peranan yang dimainkan oleh anggota PDRM sebagai barisan hadapan yang banyak membantu meringankan beban Keluarga Malaysia ketika pandemik.

“Anggota PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, berhujan panas, memerah keringat dan mendedahkan diri kepada risiko jangkitan dan bencana,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, negara akan memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ mulai 1 April yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali hidup dalam keadaan normal.

Jelas beliau, walaupun banyak kelonggaran diberi, seperti tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan kekal memakai pelitup muka di samping penjagaan kebersihan diri.

“Dalam konteks menjaga keamanan negara, bebanan ini tidak sepatutnya diletakkan atas bahu pasukan keselamatan seperti PDRM semata-mata.

“Saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM bagi mengurangkan jenayah dan membanteras tindakan anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya