Imbas Mysejahtera atau tidak diputuskan sebulan lagi

Imbas Mysejahtera atau tidak diputuskan sebulan lagi

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan masa sebulan bagi membuat penelitian sebelum memutuskan sama ada mahu meneruskan atau menghentikan amalan mengimbas MySejahtera setiap kali memasuki premis.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya perlu melihat terlebih dahulu beberapa perkara termasuk data mobiliti penduduk dan corak jangkitan Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, KKM juga akan melihat corak sama terutama membabitkan pergerakan pengembara sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka Jumaat ini.

“Kami menjangkakan tempoh sebulan untuk melihat sekiranya berlaku perubahan pada pola mobiliti dan jangkitan Covid-19 dalam negara sebaik sahaja kelonggaran diberikan mulai 1 April ini.

“Sekiranya tiada perubahan yang ketara dalam tempoh sebulan ini, barulah kita fikirkan untuk hentikan amalan itu. Saya mahu lihat terlebih dahulu pergerakan dan corak jangkitan Covid-19 sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka termasuk kelonggaran lain terutama sepanjang  Ramadan ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Pengurusan Berat Badan Bersepadu Kebangsaan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegaskan, sudah tiba masanya amalan mengimbas kod MySejahtera setiap kali memasuki premis dihentikan ketika negara sedang memasuki fasa peralihan ke endemik mulai Jumaat ini.

Presidennya, Dr. Koh Kar Chai berkata, penggunaan aplikasi itu kini mungkin sudah melepasi kemampuannya sebagai aplikasi pengesanan kontak rapat.

Jelasnya, fungsi pengesanan kontak rapat dalam aplikasi MySejahtera juga tidak lagi berkesan seperti pada fasa awal pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai pembukaan sempadan negara pada Jumaat ini, Khairy berkata, Malaysia masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan negara lain termasuk negara jiran, Brunei dan Indonesia.

Menurutnya, Malaysia secara dasarnya sudah bersedia di lapangan bagi pembukaan sempadan itu.

“Ada negara yang belum selesai putuskan SOP mereka dan kami masih menunggu mereka. Malaysia dan Thailand sebelum ini sudah bersetuju membenarkan pergerakan keluar masuk pengembara antara kedua-dua negara menerusi dua pintu sempadan darat, iaitu Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya