'Ikon' Taman Negara musnah - Utusan Malaysia

‘Ikon’ Taman Negara musnah

DONNA Daylis merakam gambar papan tanda yang pecah selepas kejadian ribut di Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - FOTO/IHSAN PEKERJA RESORT MTNR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Papan tanda berusia hampir separuh abad berdekatan pintu masuk pusat penginapan Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) dan menjadi ikon pelancongan Pahang musnah dihempap sebatang pokok Ara dalam kejadian ribut di Kuala Tahan, kelmarin.

Kejadian pukul 5.30 petang itu turut menggemparkan kira-kira 70 pelancong yang menginap di beberapa buah chalet MTNR dan serta-merta keluar apabila terdengar bunyi kuat pokok Ara tua tumbang menghempap papan tanda itu.

Bagaimanapun, kejadian ribut yang cuma berlaku kira-kira 10 minit itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan penghuni di situ.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pekerja hospitaliti, Sabri Abdullah berkata, menariknya, papan tanda ‘Selamat Datang ke Taman Negara Malaysia’ itu mula dibina sekitar 1970-an dengan menggunakan kemahiran mengukir hasil kreativiti seorang pekerja.

“Lebih menarik papan tanda ini dibuat daripada kayu pokok Merbau yang diukir dengan lambang kehijauan hutan dan seekor Badak Sumatera, diwarnai dengan cat oleh pekerja landskap di sini yang sudahpun bersara.

“Sejak berdiri megah berdekatan pintu masuk ke Taman Negara di sini, papan tanda tersebut masih utuh walaupun ditimpa hujan dan panas kerana kayu Merbau mampu bertahan lama malah dicat semula apabila warnanya pudar oleh pekerja landskap di sini,” katanya di sini Kuala Tahan di sini semalam.

Sementara itu, kakitangan hospitaliti MTNR, Razak Mahussin menambah, papan tanda tersebut merupakan tarikan dan kenangan bagi pelancong yang pernah melawat Taman Negara.

“Kita akan cuba membaikpulih dan melekatkan semula papan tanda ini kerana ia merupakan satu simbolik kepada pelancongan Taman Negara malahan sinonim dengan penduduk di sini,” katanya.

Dalam pada itu, pelancong yang berasal dari Kanada, Donna Daylis berkata, dia begitu terkejut apabila papan tanda simbol Taman Negara itu musnah dihempap sebatang pokok.

Donna yang juga pencinta alam sekitar dan serangga sudah menetap di Ipoh, Perak sejak 20 tahun lalu menjelaskan papan tanda kayu itu juga menjadi rakaman lensa kamera apabila dia dan keluarga bergambar di situ yang kerap kali ke Taman Negara Kuala Tahan sebelum berlaku pandemik Covid-19.

“Lukisan gambar Badak Sumatera dan tumbuhan begitu kreativiti dan kini menjadi kenangan bagi saya dan pelancong seluruh dunia yang pernah singgah di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya