Idam lagu sendiri, impian Yunadia tercapai

Idam lagu sendiri, impian Yunadia tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Impian pendatang baharu, Syazreen Yunadia Mazlan, 21, atau Yunadia untuk memiliki lagu sendiri tercapai dengan kemunculan single pertamanya berjudul Cha Cha Cinta.

Lagu berentak cha cha itu dihasilkan komposer terkenal, Iqie Hugh dan diterbitkan label terkemuka, Armani Entertainment Group (AEG).

“Terima kasih buat Pengasas AEG, Datuk KK Chua kerana mempercayai bakat yang saya ada sehingga dipilih menjadi artis di bawah naungan AEG.

“Cita-cita saya untuk muncul dengan single sendiri akhirnya tercapai,” kata Yunadia.

Perjalanan seni siswazah jurusan pendidikan ini bermula sejak kecil lagi. Yunadia aktif menyanyi di sekolah bersama band Kombo Cili Padi sehingga mewakili Malaysia ke sebuah festival kanak-kanak bertaraf antarabangsa Istanbul.

“Segalanya bermula sebagai hobi dan lama-kelamaan bertukar menjadi sesuatu yang saya idamkan apabila dewasa.

“Saya sering menyertai pertandingan nyanyian di peringkat universiti. Asal ada pertandingan, saya akan sertai.

“Sehinggalah saya menghadiri ujibakat The Audition anjuran AEG. Rezeki berpihak kepada saya apabila dipilih oleh pengarah tersohor, saudara Michael Ang untuk ke peringkat seterusnya. Setelah itu, saya terus dipelawa menjadi artis di bawah AEG,” katanya lagi.

Bercakap soal lagu Cha Cha Cinta, Yunadia memberitahu single tersebut adalah sebuah lagu romantis santai yang mengetengahkan irama yang jarang kedengaran pada masa kini.

Namun, komposisinya yang bersahaja, ditambah dengan paduan vokal yang mantap telah menghidupkan sisi moden dan kontemporari di dalamnya.

“Iqie bertanya apa genre yang saya gemari. Saya maklumkan yang saya sukakan bunyi old-school seperti cha cha.

“Pada mulanya beliau agak terkejut, namun saya percaya dengan kepakarannya mencipta lagu, maka terhasillah Cha Cha Cinta,” kongsinya.

Lagu Cha Cha Cinta boleh dimuat turun di iTunes dan boleh dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Ia juga boleh diperdengarkan menerusi aplikasi Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya