KOTA KINABALU: Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dilihat renggang kerana semua pemimpin masih berada di bawah satu kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN)-BN masih berjalan dengan baik namun, situasi berbeza apabila berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana setiap parti mencuba nasib untuk bertanding sendirian.
“Apa yang berlaku adalah lumrah politik. Masing-masing sedang membuat penyelarasan, jadi biarlah proses ini berjalan secara harmoni kerana ini satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan.
“Malah, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), setiap parti politik akan mengambil strategi serta kaedah penentuan pada pelbagai peringkat jawatankuasa.
“Tiada yang saya anggap ‘berpatah arang berkerat rotan’. Kita terima hakikat bahawa dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku, tiada yang kekal dalam politik,” katanya selepas majlis penyampaian Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan lawatan ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Langkuas, Kinarut, Papar hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, sekiranya ada dasar yang diputuskan oleh sesuatu parti pada satu-satu masa, jangan anggap dasar itu akan kekal kerana keadaan mungkin berubah.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, dalam politik kena bersifat ‘pragmatik’ jika ingin maju ke hadapan.
“Misalnya, di peringkat UMNO/BN mereka sudah mempunyai dasar yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) maka, itu dasar semasa dan ahli-ahli parti kena berpegang kepada dasar tersebut.
“Walau bagaimanapun, apabila bergerak ke hadapan, pucuk pimpinan mungkin berhadapan situasi berbeza dan perbincangan akan dilakukan sekiranya dasar sedia ada perlu diubah.
“Kalau tengok di Sabah misalnya, ada kerajaan negeri Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN dan Kerajaan Pusat ada PN-BN dan ia sedang berjalan dengan baik. Namun apabila PRN masing-masing bertanding sendiri malah, Pakatan Harapan (PH) juga bertanding dengan tujuh parti berbeza dengan PKR, PH, Pejuang, Muda dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), itu mungkin satu strategi.
“Kita dalam BN, dahulu berbelas parti tapi sekarang hanya ada empat parti. Jadi, saya fikir tidak perlu terlalu khuatir kerana saya percaya apabila sampai PRU15, pucuk pimpinan setiap parti mempunyai formula terbaik untuk berhadapan situasi semasa,” katanya. – UTUSAN