Hormati mandat rakyat, jangan ada lagi lompat parti

Hormati mandat rakyat, jangan ada lagi lompat parti

BUNG-MOKTAR-RADIN-dan-HAJIJI-NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rakyat Johor telah memberikan mandat baharu kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui kepimpinan negeri itu maka, keputusan tersebut harus dihormati.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meletak harapan yang tinggi agar pemimpin di Johor tidak mengulangi perangai lama dengan melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat.

“Mandat baharu yang diberikan oleh rakyat ini perlu disusuli dengan tindakan iaitu berkerja untuk rakyat dan BN juga perlu membuktikan janji yang dilontarkan dalam manifesto pilihan raya perlu ditunaikan dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, kemenangan di Johor itu memberi semangat untuk BN terus melangkah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, rakyat Johor telah membuat keputusan jelas dengan memilih BN untuk menerajui kepimpinan negeri Johor pada PRN yang berakhir semalam.

“Sama ada, ia kemenangan kecil atau besar tidak penting, apa yang penting adalah kehendak rakyat melalui kertas undi sudah diterjemahkan.

“Kemenangan BN memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan bukan sahaja mencerminkan kehendak rakyat Johor tetapi, ia sebagai bukti jelas BN/UMNO masih relevan dihati rakyat,” katanya.

Mengulas kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) angkat BN Sabah, Bung Moktar berkata, beliau bersyukur kerana dua DUN iaitu Tiram dan Permas berjaya ditawan daripada pihak lawan, yang sebelum ini disandang oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Namun, BN terlepas DUN Johor Jaya dan Puteri Wangsa yang sudah dijangka lebih awal kerana majoriti pengundi kawasan itu adalah kaum Cina.

Walau bagaimanapun katanya, kejayaan menyumbang dua kerusi DUN yang berada di bawah jagaan BN Sabah sudah cukup memadai.

Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyarankan semua pihak agar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Johor pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.

“Rakyat Johor telah membuat keputusan dan keputusan itu mesti dihormati. Kita selaku pimpinan Bersatu Sabah mengucapkan tahniah kepada BN di Johor yang telah memenangi pilihan raya tersebut,” katanya.

Diminta mengulas jika situasi di Johor akan memberi sebarang kesan terhadap Sabah, Hajiji dengan nada berseloroh berkata, ‘lain padang lain belalang’. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya