KUALA LUMPUR: Demonstrasi kembang api yang diadakan bersempena Hari Kraf Kebangsaan 2022 (HKK 2022) menampilkan keunikan menghasilkan produk kraftangan dan senjata secara tradisional.
Antaranya demonstrasi proses membuat barangan dapur tembaga, bilah pamor keris, bilah pamor barangan dan senjata lama, parang dan labu sayong.
Demonstrasi berkenaan mempamerkan semua proses pembuatan produk dari mula hingga terhasilnya produk produk kraftangan dan senjata.
Mereka yang ingin mengetahui dan menyaksikan sendiri demonstrasi kembang api ini boleh berkunjung ke Kompleks Kraf, Jalan Conlay kerana HKK 2022 berlangsung sehingga 7 Mac ini.
Demonstrasi kembang api ini dipamerkan oleh usahawan yang bawa khas dari Terengganu (barangan dapur tembaga), Johor (bilah pamor keris), Sabah (Parang), Kelantan (bilah pamor senjata lama) dan Perak (labu sayong).
Menurut usahawan bilah pamor keris, Moktazar Maarof, demonstrasi kembang api merupakan platform terbaik untuk mendedahkan cara-cara tradisional menghasilkan produk dan senjata lama.
Mata keris
“Produk yang dihasilkan secara tradisional itu mempunyai peminatnya yang tersendiri. Ada juga yang membuat tempahan dan membeli terus produk yang dipamerkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Moktazar berkata, pamor ialah corak garisan, bulatan, lekukan, hirisan, picitan atau bintik yang terbentuk pada bilah mata keris.
Katanya, corak berkenaan terjadi akibat daripada campuran beberapa jenis besi pamor yang ditempa dan dilipat berkali-kali semasa proses penempaan sebelum terhasilnya sebilah keris atau senjata lain.
“Pamor terjadi secara semula jadi akibat daripada campuran besi dan coraknya timbul selepas direndam cuka atau air nira semalaman. Pamor ini tidak dibuat-buat atau dirancang semasa pembuatannya,” kata Moktazar.
Dalam pada itu katanya, keris bilah pamor mempunyai peminatnya yang tersendiri dan mereka sanggup berbelanja mahal untuk mendapatkan keris corak pamor yang diminati.
“Harganya boleh mencecah ribuan ringgit. Walaupun mahal, saya mendapat banyak tempahan untuk keris ini…Coraknya yang menarik menjadi tarikan utama. Malah, campuran besi juga menyebabkan senjata ini tidak mudah bengkok,” katanya.
HKK 2022 berlangsung bermula 23 Februari lalu sehingga 7 Mac ini dengan ruang pameran dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam, kemasukan pula adalah secara percuma. – UTUSAN