Henti ‘hukum’ pensyarah, mahasiswa tular - Mitasa

Henti ‘hukum’ pensyarah, mahasiswa tular – Mitasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Masyarakat diharap tidak terus menghukum pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mahasiswanya yang tular menerusi video dalam media sosial sebelum ini memandangkan siasatan sudahpun dijalankan.

Persatuan Staf Akademik UiTM (Mitasa) dalam satu kenyataan juga menyeru masyarakat menghormati keputusan yang diambil dan berharap isu berkenaan tidak lagi dipanjangkan khususnya dalam kalangan warga maya.

“Kami juga berharap agar kenyataan-kenyataan yang bersifat ‘menghukum’ dan agak mengaibkan tidak lagi dilemparkan terhadap mana-mana pensyarah termasuk yang dikaitkan dengan video tersebut.

“Kami akui kata-kata dikeluarkan agak kasar dan mungkin ada yang menganggapnya sebagai perbuatan menghina, namun agak kurang adil jika video tersebut menjadi satu-satunya sumber dan merujuk kepada kesemua pensyarah khususnya di UiTM,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor dalam satu kenyataan menjangkakan keputusan akan dibuat selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Khas pada malam ini.

Malah, beliau juga memaklumkan satu laporan polis dibuat apabila dokumen laporan kronologi yang dianggap sulit berhubung insiden antara pensyarah kontrak terbabit dengan mahasiswanya tersebar dalam media sosial.

Dalam pada itu, Mitasa menasihatkan semua pihak termasuk mahasiswa dan alumni supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan rakaman kuliah dalam media sosial.

“Sungguhpun sesetengah penyebaran itu dibuat dengan berniat baik namun dikhuatiri tetap akan menimbulkan persepsi yang negatif serta terdedah kepada manipulasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pensyarah atau secara umumnya semua yang bergelar pengajar sentiasa menitikberatkan aspek penyebaran ilmu dengan penuh rasa tanggungjawab dan keikhlasan,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, kerjaya pensyarah pada masa ini dipenuhi dengan cabaran yang pelbagai dan ia tidak hanya fokus kepada aspek pengajaran dan pembelajaran semata-mata tetapi ia tetap menjadi keutamaan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN