PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menasihati umat Islam di negara supaya berhati-hati dengan tawaran pakej haji segelintir agensi pelancongan bagi tujuan menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketika ini Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji masih menunggu pengumuman rasmi berhubung urusan haji bagi Musim Haji 2022 daripada Kerajaan Arab Saudi.
“Pihak kami dan Kedutaan Arab Saudi mendapati segelintir agensi pelancongan mengambil kesempatan mengiklankan pakej-pakej haji mahupun upah haji yang meragukan.
“Diingatkan kepada individu mahupun agensi pelancongan menawarkan perkhidmatan haji tanpa kelulusan TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya dalam satu kenyataan.
Awal bulan ini, Tabung Haji melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim 2022 sebagai antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan lembaga berkenaan saban tahun.
Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh Tabung Haji dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC). – UTUSAN