LUMUT: Hasrat Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO agar Parlimen dibubarkan secepat mungkin tahun ini mungkin tidak kesampaian jika tidak mendapat persetujuan daripada parti lain yang berada dalam kerajaan sekarang, walaupun Perdana Menteri sekarang daripada BN dan UMNO.
Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, secara tradisi, keputusan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memerlukan persetujuan sebulat suara anggota Kabinet, sebelum Perdana Menteri mengemukakan keputusan itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.
“Sesiapa sahaja bebas mengemukakan pandangan (isu pembubaran Parlimen), kita juga ada mendengar pandangan daripada Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) (berhubung PRU awal), tetapi keputusan sama ada untuk membubarkan atau tidak pada akhirnya adalah keputusan Kabinet.
“Kita sedia maklum Kabinet hari ini bukan (didominasi) daripada BN atau UMNO sahaja, selalunya keputusan Kabinet ini dicapai melalui sebulat suara, jika ada yang tidak bersetuju, biasanya tidak dilakukan keputusan tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Ramadan Parlimen Lumut di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 34 masjid dan surau menerima peruntukan Ahli Parlimen Lumut itu bernilai keseluruhan RM50,000 manakala 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima peruntukan bernilai keseluruhan RM30,000.
Dr. Mohd. Hatta diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, pada sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam yang membayangkan PRU-15 akan diadakan pada tahun ini walaupun tempoh habis penggal Parlimen sekarang adalah pada Mei tahun depan.
Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, bagaimanapun tidak memaklumkan bila PRU berkenaan secara lebih terperinci cuma memberitahu kebarangkalian suasana politik negara tahun ini akan menyaksikan PRU.
Menurut Dr. Mohd. Hatta, mana-mana parti pun bila ada aliran yang menunjukkan sokongan kepada parti tersebut dalam pilihan raya sebelum ini, sudah tentu mereka mahu sokongan itu berterusan.
“Bagaimanapun, kerajaan sedia ada bukan satu parti, ia terdiri daripada pelbagai parti, jadi usaha untuk mendapatkan persetujuan semua parti itu (untuk membubarkan Parlimen) adalah perkara yang agak pening juga, kerana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN Johor), terdapat pertandingan sesama mereka, itu tidak menggambarkan perpaduan parti-parti dalam kerajaan,” ujar beliau.
Jelas Dr. Mohd. Hatta, pendirian Amanah dan Pakatan Harapan (PH) ialah masih mematuhi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan iaitu tiada pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai tahun ini walaupun ada mendakwa ia sudah terbatal berikutan penolakan usul pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Tegas beliau, perkara itu tidak diikat dengan MoU, atas faktor ia bukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, ia tidak dirunding awal dengan pembangkang dan ia bukan sebahagian daripada belanjawan negara, justeru MoU tersebut masih terpakai.
“Selepas 31 Julai ini, tidak semestinya Parlimen dibubarkan, tetapi terpulang kepada kerajaan, kita dalam PH dan Amanah membaca situasi politik ini dengan teliti, kita juga memahami parti-parti di kalangan pembangkang mesti menunjukkan pendekatan yang sepakat dengan strategi yang tepat untuk berhadapan dengan BN.
“Kita harus menggerakkan gerakan ke arah menyatukan pelbagai parti pembangkang termasuk mana-mana pihak dalam kerajaan yang tidak dapat bekerjasama dengan UMNO dan BN, tentulah mereka ini juga membuat pendirian yang mungkin juga terpaksa membuat pilihan.
“Saya tidak mengatakan kita akan bekerjasama dengan mana-mana parti, tetapi kita kena bersedia ke arah tersebut dan ini memerlukan satu jiwa besar kepada semua pihak, sebab hari ini kita bercakap bukan sebab tidak mahu BN, tidak mahu UMNO, tetapi apa sebenarnya yang berlaku (penyelewengan dan salah guna kuasa) dalam UMNO dan BN itu yang perlu diberi perhatian,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE