Hasil negeri 40 peratus Sabah: Kenyataan Menteri Kewangan bercanggah  - Utusan Malaysia

Hasil negeri 40 peratus Sabah: Kenyataan Menteri Kewangan bercanggah 

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan digesa menjelaskan mengenai Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri dikutip Kerajaan Persekutuan yang tidak lagi terpakai seperti didedahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, perkara itu tidak boleh dimuktamadkan antara Kabinet Persekutuan dan Kabinet Negeri sahaja tanpa mendahului proses pindaan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Parlimen.

Beliau berkata, wujud percanggahan dalam kenyataan Tengku Zafrul hari ini bahawa masih ada rundingan sebelum memuktamadkan hal tersebut, walhal dalam jawapan bertulisnya pula sebelum ini, formula 40 peratus tersebut sudah tidak lagi terpakai.

“Apa yang dijawab menteri berlaku percanggahan, dalam jawapan bertulis telah diputuskan dan tidak lagi terpakai, tetapi sebentar tadi pula cakap ada rundingan. Sebab itu, saya bertanya pada Kerajaan Sabah dan Persekutuan, adakah benar seperti dikatakan 40 peratus agihan hasil ini tidak lagi terpakai?

“Melalui proses apakah sehingga mengakibatkan keputusan ini diambil? Adakah prosesnya betul sebab ini melibatkan pindaan Perlembagaan dan berkait rapat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)? Setiap pindaan bukan sahaja perlu dibawa ke DUN Sabah, tetapi Dewan Rakyat. Tapi, setahu saya tiada pula pindaan berkait dengan isu ini.

“Jadi, saya minta pimpinan negeri Sabah berikan penjelasan, adakah benar mereka bersetuju dengan pindaan ini dan apakah proses sebenarnya telah dipenuhi?” Soalnya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam jawapan bertulis Tengku Zafrul menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan) pada 3 Mac lalu, meminta supaya kerajaan menyatakan jumlah cukai yang telah dikutip dari Sabah bagi lima tahun seperti diperuntukkan dalam Perkara 112C dan D Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Zafrul menjawab, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah baharu sahaja memuktamadkan rundingan Pemberian Khas, dan formula 40 peratus hasil bersih negeri sudah tidak lagi terpakai.

Ironinya, semasa menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan hari ini, Tengku Zafrul menjelaskan perkara tersebut masih dalam proses rundingan.

Dalam pada itu, Mohd. Azis berkata, lebih mengelirukan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili sebelum ini membuat kenyataan bahawa persetujuan telah dicapai, menyaksikan geran tahunan diperoleh Sabah adalah lima kali ganda lebih besar berbanding yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

“Tetapi, apabila merujuk kepada jawapan menteri seolah-olah ada percanggahan, menteri sahkan bahawa masih belum putuskan, masih dalam proses perbincangan pula.

“MA63 adalah perjanjian melibatkan Perlembagaan. Ia bukan dasar dan tidak boleh dipinda sewenang-wenangnya. Dasar boleh berubah mengikut kerajaan memerintah namun MA63 tidak boleh dipinda tidak kira siapa memerintah melainkan dibawah ke DUN dan Dewan Rakyat serta kelulusan mesti melebihi dua per tiga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya