JERANTUT: Hampir 1,500 penduduk mukim Tembeling Tengah dan berdekatannya menyerbu Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di tapak pasar malam Felda Sungai Retang, di sini,hari ini.
Bukan sahaja daging lembu, penduduk teruja apabila harga 37 barangan keperluan dapur yang diselenggarakan oleh Pasar Raya TF Jerantut di sini, dijual 20 peratus lebih rendah.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, jualan PJKM diserbu serta mendapat sambutan hangat penduduk apabila Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris menaja RM10 untuk satu kilogram daging lembu.
“Penduduk hanya perlu membayar RM20 sekilogram daging lembu berbanding harga pasaran RM32 dan inisiatif Ahli Parlimen Jerantut menjayakan PJKM dengan menaja setiap satu kilogram jualan daging ternakan itu termasuk penjual (daging) memberikan diskaun sebanyak RM2 telah menarik perhatian ramai penduduk.
“Bagi daerah ini, pejabat KPDNHEP di sini telah merintis PJKM pertama kali di Felda Sungai Retang sekali gus memberi kemudahan penduduk sekitar mukim Tembeling Tengah dan Kuala Tahan keluar berbelanja barang keperluan dapur untuk persiapan menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi,” katanya di Felda Sungai Retang dekat sini hari ini.
PJKM anjuran Pejabat KPDNHEP Jerantut selama dua hari dirasmikan oleh Ahmad Nazlan yang turut beramah mesra dengan pengguna serta menyumbangkan barang keperluan dapur kepada penduduk. – UTUSAN