Guru jaga etika, integriti agar terus dihormati masyarakat - Utusan Malaysia

Guru jaga etika, integriti agar terus dihormati masyarakat

RADZI Jidin menyampaikan hadiah kepada pasukan Sabah yang muncul johan Pertandingan Bahas Guru Kementerian Pendidikan 2022 di Kuala Nerus, malam tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Golongan pendidik diingatkan untuk sentiasa menjaga etika, integriti, tindak-tanduk, tatacara dan perlakuan mereka agar profesion perguruan terus dipandang tinggi dalam masyarakat.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sebagai kumpulan yang banyak menyumbang kepada rakyat, adalah penting untuk guru terus mempertahankan kehormatan profesion itu.

Sehubungan itu katanya, guru perlu memastikan segala tindak-tanduk dan tingkah laku mereka mematuhi etika ditetapkan di samping terus mempertahankan integriti perguruan.

“Guru merupakan antara tunjang mengemudi negara sebelum dan selepas merdeka, setapak demi setapak menjadi pejuang kemerdekaan serta pembangunan, malah terus dihormati dalam masyarakat apabila masih dipanggil cikgu walaupun selepas berpuluh tahun pencen.

“Maka, adalah amat penting untuk guru memastikan setiap perkara yang dilakukan mengikut tertib agar profesion perguruan terus dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Peringkat Kebangsaan 2022 di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, Radzi turut mengumumkan tema sambutan Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Bahas Guru Kementerian Pendidikan 2022 anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGBM) dengan johan diberikan kepada pasukan Sabah yang membawa pulang wang RM5,000.

Pasukan yang diuruskan Awang Jaya Awang Damit itu terdiri daripada Abd. Wahab Abd. Hamid, Kamaruddin Ismail, Mohd. Redzwan Abd. Majid dan Inra Darmensa.

Tempat kedua pula dimenangi pasukan dari Kelantan iaitu Mohd. Zain Mamat (pengurus) di samping Nurul Nadiah Che Rahim, Awanis Mohd., Ghazali Mat Zain dan Khang Pheak Sew  diikuti Selangor (ketiga) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (keempat).

Di samping itu, YGBM turut menyampaikan bantuan bernilai RM23,000 kepada ahli-ahlinya yang terjejas banjir di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya