IPOH: Gunung Masoorat di sini yang diiktiraf sebagai antara lokasi Geopark Lembah Kinta boleh diangkat sebagai salah satu produk ekopelancongan utama selain mercu tanda negeri Perak.
Berketinggian 162 meter, gunung batu kapur berusia jutaan tahun ini adalah permata khazanah bandar raya ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya berkata, keunikan dan keistimewaan ini mampu mengujakan para pencinta alam.
Menurutnya, Gunung Masoorat juga berpotensi dijadikan sebagai pusat penyelidikan khas bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan gua batu kapur di kawasan berkenaan.
“Cadangan ini bukan sahaja selaras dengan agenda Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh menjelang 2035 bahkan dalam melindungi khazanah berkenaan,” katanya ketika berucap pada Program Perak SADC Agrofest Masoorat Heritage Park@Ipoh yang berlangsung di Gunung Matsoorat di sini ,semalam.
Program lima hari itu dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta Rymba Management & Leisure Sdn. Bhd. selaku pengendali tapak.
Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah berkenan hadir pada majlis perasmian tersebut. Lokasi ini bersebelahan Lebuhraya Utara Selatan itu menawarkan pelbagai aktiviti lasak seperti eksplorasi gua, rock climbing, abseiling, trekking rocktrail dan sebagainya.
Kemuncak acara malam tadi adalah persembahan pentas Limestone Music Preview yang menampilkan Papa Rock, Ramli Sarip dengan iringan pemain gitar tersohor tanah air, Man Kidal.
Persembahan ini juga dicadang untuk direkodkan Malaysia Book of Record sebagai konsert pertama yang dilakukan di bukit batu kapur. – UTUSAN