Graduan berkompetensi tinggi punyai kelebihan dalam kebolehpasaran

Graduan berkompetensi tinggi punyai kelebihan dalam kebolehpasaran

ABI Musa Asaari Mohamed Nor (lima dari kanan) dan Abdul Aziz Abdul Rahman (empat dari kiri) bersama penerima anugerah kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. - FOTO/IHSAN UMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Graduan yang mempunyai kompetensi tinggi dengan menguasai pelbagai bahasa, berkeyakinan diri, dapat berkomunikasi dengan baik dan berkeupayaan mengendalikan peralatan berteknologi tinggi mempunyai kelebihan mendapat tempat dalam pekerjaan.  

Pro Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dr. Abi Musa Asaari Mohamed Nor berkata, merujuk Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan sejumlah 190,436 peluang pekerjaan pada Disember 2021, 69 peratus daripadanya adalah berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan 19 peratus lagi dalam sektor pembuatan.

“Kerajaan Malaysia juga telah mengumumkan tiga inisiatif Jamin Kerja iaitu Insentif Penggajian Jamin Kerja, Malaysia Short term Employment Program (MySTEP) dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran bagi mencerdaskan semula ekonomi negara untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap semasa sesi pertama Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di sini hari ini.

Turut sama hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Ujar Abi Musa Asaari, kesemua inisiatif itu perlu disokong bagi memastikan matlamat pengangguran di bawah empat peratus tercapai.

“Selain itu, memahami situasi pada masa kini dan realiti ekonomi semasa, keperluan tenaga kerja ketika ini amat mencabar daya saing anda sebagai graduan.

“Malah saya sedar para graduan semua pastinya teruja sekiranya dilantik sebagai profesional muda setelah menamatkan pengajian, namun untuk menempatkan diri dan menempa nama di alam kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah. 

“Keupayaan dan kompetensi sebenar graduan akan diuji dan dinilai. Justeru, graduan mestilah menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan berpaksikan sinergi ilmu, kemahiran teknikal, insaniah dan sahsiah yang murni sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para graduan pada sesi pertama yang terdiri daripada doktor falsafah, sarjana, graduan program dual ijazah dan ijazah sarjana muda atas kejayaan mereka. 

Dalam pada itu, majlis konvokesyen pada kali ini turut menobatkan graduan Dual Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif – (Program Kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman), Nurain Rozy  sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang).

Nurain turut meraih Hadiah Kecemerlangan Dual Ijazah sumbangan Association of German Engineers (VDI). 

Turut sama menerima anugerah Pingat Jaya Cemerlang adalah M. Ashviny, pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).

Seramai  3,556 graduan termasuk 37 penerima  anugerah dan hadiah kecemerlangan dirai dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula hari ini  sehingga  20 Mac ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya