GEORGETOWN: Cadangan menaikkan tarif air di Pulau Pinang buat masa ini tidak wajar kerana majoriti penduduk masih terkesan dan terbeban dari segi kewangan akibat Covid-19.
Sehubungan itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong menggesa Kerajaan Pusat menolak permohonan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) untuk menaikan tarif air yang akan dikemukakan tahun ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah beberapa kali menaikkan caj dan tarif air sepanjang 14 tahun mentadbir negeri itu dan kenaikan sekali lagi dalam tempoh terdekat tidak seharusnya berlaku.
“Ekonomi penduduk Pulau Pinang belum pulih, masih ramai yang berdepan dengan impak akibat pandemik Covid-19.
“Dengan mencadangkan kenaikan tarif air ini, adakah kerajaan negeri mahu melihat rakyat terus hidup sengsara?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, PBAPP dilaporkan akan memohon semakan tarif air di Pulau Pinang pada tahun ini untuk meningkatkan dana bagi pelaksanaan projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, permohonan PBAPP akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan tertakluk kepada kelulusan Persekutuan.
Menurut Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat, semua pihak khususnya kerajaan negeri ketika ini harus memberi tumpuan dalam memacu pembangunan ekonomi Pulau Pinang.
Tambahnya, selain itu usaha juga perlu diberikan dalam menambah baik serta meningkatkan kehidupan rakyat, bukannya membebankan dan memburukkan lagi situasi yang sedang dihadapi mereka.
“PBAPP mungkin boleh mengemukakan cadangan kenaikan tarif air pada masa yang sesuai, tetapi bukan sekarang,” katanya.- UTUSAN