ARAU: Sebelum ini, Muhammad Afiq Azman, 28, hanyalah insan biasa yang menjalani kehidupan normal seperti rakan-rakan lain.
Namun, kehidupan dan rutin anak sulung daripada empat beradik itu bagaikan direntap apabila disahkan lumpuh separuh badan selepas mengalami masalah multiple sclerosis (MS) dan terpaksa berkerusi roda sejak dua tahun lalu.
Dugaan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat dan melemahkan jiwa Muhammad Afiq untuk terus berjaya dalam pelajaran serta kehidupan meskipun terpaksa menjalani kehidupan serba mencabar.
Muhammad Afiq berjaya menamatkan pengajian dengan segulung ijazah sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal semasa Istiadat Konvokesyen Ke-15 Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini semalam.
Kegigihan pemuda tersebut turut mendapat perhatian Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Zauli yang menyentuh kisah hidup Muhammad Afiq dalam ucapannya di depan ratusan graduan dan ibu bapa seterusnya mendapat tepukan gemuruh hadirin.
Malah, ketabahan anak jati Pulau Pinang itu yang berjaya menamatkan pengajian dengan keupayaan terhad itu turut mendapat perhatian Pro Canselor Unimap, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan menitipkan kata-kata semangat kepadanya sejurus selepas tamat sidang keempat istiadat konvokesyen itu.
Muhammad Afiq berkata, masalah yang dihadapinya itu disebabkan sistem imun menyerang selaput saraf tunjang sehingga mengalami luka sekali gus menyebabkan bahagian badan dari pinggang ke bawah tidak dapat menerima arahan otak.
“Masalah tersebut mula dikesan pada 2017 selepas saya tiba-tiba tidak boleh berjalan dan kaki menjadi lemah selepas bangun tidur ketika saya masih belajar di semester empat.
“Ekoran itu, saya terpaksa menangguhkan pembelajaran selama satu semester sebelum kembali semula dalam keadaan bertongkat, namun keadaan bertambah buruk sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda.
“Saya menjalani pelbagai jenis rawatan selepas itu namun masih tiada perubahan positif serta masih bergantung kepada ubat-ubatan bagi mengelakkan penyakit kronik itu bertambah teruk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Dewan Ilmu, Kampus Alam Unimap, Pauh Putra di sini.
Tambahnya, selepas disahkan menghidap MS sehingga lumpuh separuh badan, situasi itu memberi kesan emosi dan dia pernah terlintas untuk menamatkan pengajian.
“Apabila memikirkan keadaan diri yang serba kekurangan dan kesukaran bergerak menyebabkan saya berbelah bahagi untuk meneruskan pengajian, namun rakan-rakan sekeliling menasihatkan agar mencuba dahulu sebelum mengalah.
“Sebagai pelajar yang pernah menjalani kehidupan normal dan kemudian menjadi orang kurang upaya (OKU), saya merasai sendiri betapa sukarnya kami bergelut untuk mencapai kejayaan di menara gading.
“Dorongan ibu bapa, sokongan rakan-rakan dan keprihatinan pengurusan Unimap seperti menyediakan bilik di tingkat bawah bangunan kolej kediaman dan sebagainya banyak membantu saya,” katanya yang kini bertugas sebagai pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. – UTUSAN