JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam kalangan pemimpin muda yang berkaliber dengan pelbagai latar belakang dan kepakaran adalah input bernilai untuk dimanfaatkan Bangsa Johor bagi mengharungi masa depan lebih cemerlang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ku Hasnan Ku Halim berkata, rakyat Johor perlu yakin kepada bakal Exco dengan meletak kepercayaan bahawa mereka yang akan memegang amanah itu mempunyai ciri dikehendaki dan ramuan cukup untuk mendampingi rakyat.
Malah, kata beliau, sekiranya gabungan Exco itu mengekalkan orang lama yang berpengalaman dengan wajah baharu jelas memberikan satu gambaran bahawa visi dan misi Menteri Besar yang baharu tidak bersifat statik untuk meneruskan legasi pembangunan Johor.
“Johor tidak pernah ketandusan pemimpin dan kesinambungan pemimpinnya di dalam negara jelas berlaku sejak era Datuk Onn Jaafar lagi yang mewarnai rencah politik negara dan kini diteruskan legasi berkenaan oleh Menteri Besar yang baharu.
“Gandingan calon berpengalaman dan layak selain berintegriti adalah sesuatu yang didamba rakyat Johor dan senario itu dianggap seimbang untuk pertumbuhan negeri Johor lebih-lebih lagi dalam konteks pelbagai kaum dan kepelbagaian Bangsa Johor itu sendiri,” katanya.
Akhbar ini menerusi muka hadapan melaporkan lebih 60 peratus Exco muka baharu dijangka dilantik dan mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, esok.
Sumber memaklumkan Utusan Malaysia, kesemua calon Exco kerajaan negeri Johor yang baharu itu juga sudah melepasi tapisan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain perlu mengisytihar harta seperti dititahkan Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, Ku Hasnan berkata, kesediaan golongan muda berganding dengan muka lama juga adalah perkembangan baik dan wajar disokong kerana dengan cara itu barisan kepimpinan yang berwibawa mampu mengemudi hala tuju Johor dan bangsanya.
Kata beliau, sudah menjadi lumrah untuk pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan membela rakyat perlu disemarakkan dengan misi dan visi yang lebih realistik.
“Sesungguhnya kepimpinan yang baik adalah mereka rela berundur dengan memberi laluan kepada muka-muka baharu bagi meneruskan kesinambungan perjuangan. Kesediaan tokoh lama berundur turut membuktikan tidak berlaku ketandusan pemimpin.
“Mereka yang berkaliber sewajarnya diketengahkan walaupun masih berusia muda agar peremajaan kepemimpinan dapat dimulakan daripada sekarang,” katanya. – UTUSAN