PETALING JAYA: Kekalahan kerajaan untuk mendapat sokongan Dewan Rakyat bagi meluluskan usul Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hari ini tidak boleh ditafsirkan sebagai hilang kepercayaan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, soal tidak menyokong usul itu tidak termasuk dalam perkara yang dirundingi dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara pembangkang dan kerajaan.

“Usul ini tidak dibincang, dirunding atau dipersetujui melalui mekanisme MOU. Kekalahan usul ini juga tidak diertikan sebagai hilang percaya kepada Kerajaan,” katanya di twitter.
Katanya, ia mengambil kira perkara 3.3(b) dalam MoU tersebut.
Hari ini Dewan Rakyat menolak usul Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undian itu berkata, seramai 86 ahli Parlimen ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju melanjutkan usul tersebut, 84 ahli Parlimen Kerajaan bersetuju manakala 50 ahli Parlimen tidak hadir.
“Maka, usul seperti yang dikemukakan tidak dipersetujui,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu, Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mencadangkan supaya undi belah bahagian dilakukan bagi mencapai keputusan meluluskan undang-undang yang diusulkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Lebih 15 ahli Parlimen kemudian bangun bagi menyokong supaya undang-undang tersebut diputuskan menggunakan undi belah bahagian.
Hari ini, Hamzah membentangkan usul bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa subseksyen itu bermula 31 Julai ini dan bercadang mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari mengikut peruntukan akta sama bagi memberi ruang masa cukup kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan kes kesalahan-kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.
Jelasnya, tempoh 28 hari dalam akta itu tidak mencukupi kerana kes disiasat di bawah SOSMA sangat rumit terutama melibatkan kumpulan pengganas dan jenayah terancang yang mempunyai rangkaian luas.
Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju kerajaan melanjutkannya kerana peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) sudah cukup untuk siasatan yang perlu dalam kes melibatkan SOSMA. – UTUSAN