Felda peruntuk RM7.6 juta pulihkan bekalan air Felda Sungai Retang - Utusan Malaysia

Felda peruntuk RM7.6 juta pulihkan bekalan air Felda Sungai Retang

NAZRI Ngah (tiga dari kiri) dan disaksikan oleh Saiful Zaini Mohd. Bokhari (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pendidikan kepada wakil Felda Wilayah Jengka sempena program CSR di Felda Sungai Retang di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Felda memperuntukkan RM7.6 juta untuk kerja pembinaan tangki besar di kawasan tinggi bagi mengatasi gangguan bekalan air terawat di Felda Sungai Retang dekat sini tahun ini.

Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Nazri Ngah berkata, peruntukan itu antara nilai keprihatinan serta mengambil peduli daripada Felda apabila penduduk di situ kerap berdepan tekanan rendah aliran air bersih sejak 20 tahun lalu.

“Hal ini berpunca apabila Loji Rawatan Air (LRA) Seberang Tembeling yang terletak sejauh lima kilometer tidak dapat menampung jumlah penduduk yang semakin ramai lebih lagi keadaan amat rumit apabila muka sauk loji dipenuhi lumpur ketika musim kemarau, ditenggelami banjir dan kadar penggunaan yang tinggi pada waktu musim perayaan.

“Lebih 100 orang pengguna air Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) melibatkan kediaman mereka di Felda ini berada di kawasan yang tinggi dan kerap mengalami tekanan rendah serta terputus bekalan dalam tempoh yang lama,” katanya kepada pemberita pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Kerajaan Pahang dengan kerjasama Paip dan sesi pertemuan dengan penduduk Felda Sungai Retang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Mohd. Bokhari.

Nazri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, Felda akan mengeluarkan tender pada penghujung bulan ini, manakala projek tersebut dijangka siap pada bulan November tahun ini.

“Pembinaan tangki yang lebih besar dengan kapasiti muatan daripada LRA lebih 150 meter cubed dapat menampung bekalan air bersih kepada semua penduduk khususnya di kawasan kediaman yang mengalami tekanan rendah khususnya pada musim kemarau dan perayaan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, anak syarikat kerajaan negeri, Paip juga memperuntukkan sebanyak RM3 juta tahun ini untuk menaiktaraf LRA Seberang Tembeling serta kerja membaik pulih peralatan di loji tersebut.

“Kerajaan negeri menghargai bantuan pengurusan Paip yang cukup komited dengan menggunakan wang peruntukan sendiri untuk menaiktaraf loji tersebut supaya membolehkan penduduk yang terjejas memperoleh bekalan air yang lebih selesa mulai penghujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Saiful Zaini berkata, peruntukan RM3 juta itu melibatkan kerja pemasangan ‘poonton’ yang sudahpun bermula bagi memastikan air disedut dengan lebih banyak untuk dirawat sebelum disalurkan kepada penduduk Felda tersebut dan kawasan berdekatan.

“Peruntukan ini juga melibatkan kerja membaikpulih peralatan di muka sauk loji serta pemasangan paip baharu bagi menyalurkan air ke tangki yang dibina menerusi peruntukan Felda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya