PUTRAJAYA: Kebergantungan kepada ujian RT-PCR (PCR) perlu dikurangkan dengan melebihkan kepada ujian RTK-Ag (RTK), sewaktu fasa peralihan endemik di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia memandangkan ujian PCR lebih mahal, manakala ujian RTK pula lebih murah serta mudah didapati di pasaran.
“Lagipun mengikut pakar, RTK memadai untuk mengesan kes positif yang mempunyai tahap kebolehjangkitan tinggi berbanding PCR sangat-sangat sensitif. Sampai orang yang sudah sembuh pun, masih lagi positif apabila mengambil ujian PCR.
“Keduanya, ujian PCR tak pantas, tak cepat macam ujian RTK. Kita tunggu 15 minit sahaja dan kita tahu sama ada positif dengan kebolehjangkitan atau tidak,” katanya dalam rakaman video dimuat naik pada Facebook Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau berkata, dalam situasi ketika ini iaitu varian Omicron yang lebih pantas dan lebih cepat merebak, penggunaan ujian RTK adalah lebih berkesan.
“Tak perlu menunggu 24 jam hingga 48 jam untuk tahu kita positif atau tidak, jadi lebih cepat kita mengesan dan asingkan diri jika positif.
“Lebih baik 1,000 orang buat ujian RTK daripada 10 orang buat ujian PCR walaupun PCR ini lebih sensitif,” ujarnya.
Mengenai kualiti pula, Khairy sudah meminta Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Kementerian Kesihatan untuk bertindak ke atas kit ujian RTK yang didapati tidak tepat.
“Kita akan terus pantau kit yang ada di pasaran untuk pastikan kualitinya kita jaga dengan baik. Bagaimanapun, ujian PCR juga masih boleh digunakan untuk mengembara ke luar negara contohnya atau sebelum kembali ke Malaysia, kita masih lagi memerlukan ujian PCR,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau sekali lagi mengingatkan masyarakat supaya tidak perlu mengesahkan ujian RTK yang didapati positif dengan melakukan ujian PCR, tetapi individu tersebut perlu terus menjalani kuarantin.
Pada akhir video berdurasi dua minit itu, Khairy menunjukkan keputusan ujian RTK beliau yang didapati negatif. – UTUSAN