PETALING JAYA: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyifatkan pelantikan Exco Kerajaan Negeri Johor membuktikan kepercayaan Barisan Nasional (BN) terhadap anak muda dalam menerajui kepemimpinan peringkat negeri.
Ini susulan sebanyak 70 peratus daripada barisan Exco Johor yang diumum hari ini adalah dalam kalangan orang muda yang berilmu dan berketerampilan bersama gabungan antara pemimpin yang sarat dengan pengalaman.
“Alhamdulillah, menjunjung kasih atas limpah perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk menyempurnakan Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Taat Setia 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene pada pagi tadi.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada semua barisan Exco yang dilantik. Apa yang lebih istimewa, 6 daripada mereka adalah teman kita daripada Pemuda BN dan 1 daripada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini..
Ini, tambah Shahril Hamdan, adalah manifestasi sebuah kepemimpinan baharu yang segar dan kepercayaan UMNO dan Barisan Nasional terhadap anak muda di dalam parti untuk menerajui kepimpinan di peringkat negeri.
“Saya yakin kesemua barisan Exco yang dilantik akan dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan baik serta memenuhi segala Ikhtiar Barisan Nasional untuk kemakmuran rakyat Negeri Johor,” katanya.
Wakil Pemuda BN dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Johor adalah Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah; Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Mohd Khalid dan Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Mohamad Fazli Salleh.
Selain itu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Raven Kumar Krishnasamy; Ketua Pemuda MCA Ayer Hitam, Ling Tian Soon dan Ketua Pemuda MCA Semberong, Lee Ting Han. – UTUSAN