PETALING JAYA: Peralihan fasa endemik perlu ditangguhkan sehingga kadar pengambilan dos penggalak dalam kalangan rakyat di negara ini mencecah 90 peratus.
Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, selain itu, vaksinasi kanak-kanak dan golongan remaja juga perlu mencapai kadar 90 peratus sebelum beberapa kelonggaran diberikan.
Malah, katanya, beberapa pelan kecemasan perlu dirangka sekiranya kadar kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) kembali meningkat selain kemunculan varian baharu.
“Kes jangkitan sekarang banyak pada kategori satu dan dua. Negara memang ke arah endemik, namun kita perlu lihat semula pada peratusan pemberian dos penggalak. Ini kerana kita tidak tahu apa yang berlaku untuk beberapa bulan akan datang. Apakah muncul varian baharu? Apakah kadar kemasukan ke ICU meningkat kembali? Semua itu perlu dilihat.
“Jika nak sampai 90 peratus vaksinasi (dos penggalak), saya jangka mungkin hujung April adalah masa sesuai untuk beralih ke fasa endemik, ” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan fasa peralihan endemik bermula 1 April ini.
Serentak dengan itu, Malaysia akan membuka pintu sempadan negara selain beberapa kelonggaran diberikan.
Dalam pada itu, pandangan berbeza diutarakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar yang berkata, keputusan dibuat kerajaan itu sebagai tepat berdasarkan indikator ditetapkan.
Malah beliau dalam masa yang sama berkata, kerajaan tidak perlu menunggu keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mempunyai indikator berbeza antara negara lain.
“Kita perlu teruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai dan pemantauan lain sekiranya ada varian baharu. Paling penting rakyat mesti mengamalkan kawalan kendiri,” ujarnya. – UTUSAN