Ekuinoks: Fenomena hari tanpa bayang - Utusan Malaysia

Ekuinoks: Fenomena hari tanpa bayang

Aishah Sakinah Sazali, 32, mengambil gambar ketika fenomena ekuinoks iaitu hari tanpa bayang susulan matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa di Putrajaya semalam. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia semalam berpeluang merasai pengalaman fenomena ekuinoks iaitu hari tanpa bayang apabila matahari berada tepat atas garisan Khatulistiwa.

Warga kota Kuala Lumpur, Putrajaya serta Petaling Jaya dan Kajang di Selangor mengalami pengalaman itu pada pukul 1.19 tengah hari manakala Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang lewat seminit.

Penduduk Sarawak terutamanya di Betong, Sri Aman dan Serian selain Kukup di Johor kumpulan paling awal merasai kejadian unik tersebut pada 23 Mac lalu.

Ini diikuti Kuching, Lundu dan Bau di Sarawak serta Johor Bahru dan Pontian Kechil di Johor pada 24 Mac selain beberapa lagi lokasi di Sarawak dan Johor pada pada 25 Mac.

Menurut makluman Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi semalam sahaja warga Lembah Klang antara yang mengalami peristiwa tengah hari tanpa bayang itu mulai pukul 1 tengah hari.

“Saya ingin mengajak seluruh Keluarga Malaysia sama-sama menghayati fenomena ini,” kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi kenyataan tersebut.

Malahan kata beliau, orang ramai juga digalakkan untuk keluar rumah lebih awal bagi memerhatikan perubahan bayang-bayang sendiri atau objek lain di sekitar kawasan tersebut.

Ekuinoks

Fenomena tengah hari tanpa bayang ini menurut Adham adalah susulan daripada peristiwa ekuinoks yang berlaku pada 21 Mac lalu apabila matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa.

Ketika kejadian tersebut, seluruh dunia mengalami tempoh waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu masing-masing 12 jam siang dan baki lagi 12 jam untuk malam.

Ekuinoks turut menandakan perubahan musim iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara bumi manakala di hemisfera selatan pula sebaliknya bertukar mengalami musim luruh.

Kementerian itu menambah, ketika fenomena tersebut, matahari berada tepat di atas kepala setiap orang dengan bayang kepala dan badan jatuh ke tapak kaki menyebabkan ia seumpama tiada bayang.

“Malaysia hanya mula mengalami fenomena itu pada Rabu lepas kerana kedudukan negara ini agak jauh sedikit ke utara daripada 0 darjah iaitu garisan Khatulistiwa,” jelasnya.

Ia memberi contoh Rawang dan Kuala Selangor di Selangor pada esok sementara Kuantan dan Raub di Pahang pula pada lusa diikuti Lumut dan Bidor di Perak diunjurkan pada 31 Mac.

Ibu negeri Perak, Ipoh pada 1 April; Georgetown, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, Terengganu (3 April), Kota Bharu, Kelantan; Alor Setar, Kedah dan Kota Kinabalu, Sabah (5 April).

Bandar terakhir di Malaysia yang berpeluang merasai fenomena itu ialah Jambongan dan Kudat di Sabah pada 7 April ini sebelum matahari teranjak ke latitud utara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN