Ejen insurans gagal padam ‘Islam' daripada IC - Utusan Malaysia

Ejen insurans gagal padam ‘Islam’ daripada IC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ejen insurans wanita gagal dalam usahanya menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya sekali gus mengisytiharkannya sebagai penganut agama Buddha selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakimannya.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian atas alasan antaranya tindakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara selaku responden pertama meminta wanita yang kini berusia 42 tahun itu mengemukakan dokumen yang menunjukkan dia bukan lagi beragama Islam adalah mengikut peruntukan undang-undang.

“Apabila terdapat bukti dokumen yang menunjukkan pemohon adalah seorang Muslim, apa sahaja yang konsisten atau bertentangan dengan bukti atau fakta yang menyatakan pemohon bukan lagi seorang Muslim atau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam hendaklah ditentukan oleh Mahkamah Syariah, bukannya Mahkamah Sivil atau responden pertama.

“Pemohon tidak dihalang oleh responden pertama daripada menganut atau mengamalkan agama pilihannya. Apa yang diperlukan oleh responden pertama ialah pengesahan daripada pihak berkuasa yang mengesahkan pemohon bukan lagi seorang Muslim atau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam kerana berdasarkan bukti bertulis atau rekod dokumen, pemohon dikenali dan dilayan seperti seorang beragama Islam,” kata hakim itu.

Selain itu, berbeza dengan kes Indira Gandhi, Hakim Noorin menyatakan ibu pemohon tidak pernah mencabar pengislaman anaknya itu yang dilakukan bekas suaminya ketika anak mereka berusia 10 tahun malah dakwaan ibu pemohon bahawa dia tidak pernah memberikan keizinan untuk menukar agama anak mereka itu hanya wujud apabila semakan kehakiman itu difailkan.

Dalam kes Indira, guru tadika itu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan bekas suaminya seorang mualaf yang telah membuat penukaran agama Islam secara unilateral terhadap tiga anaknya sebaik mengetahui perbuatan suaminya itu.

“Lebih menjejaskan, pemohon sendiri tidak pernah mencabar pengislamannya menggunakan ruang perundangan yang betul dan wajar bagi mendapatkan deklarasi bahawa pengislamannya adalah terbatal dan tidak sah ketika mencapai usia 18 tahun. Cabaran terhadap pengislaman itu hanya timbul ketika pemohon hampir berusia 40 tahun,” kata hakim tersebut.

Pada November 2020, ejen insurans tersebut memfailkan permohonan semakan kehakiman dan memohon beberapa perintah antaranya dia seorang penganut dan pengamal agama Buddha dan perintah mengarahkan Ketua Pengarah JPN untuk mengeluarkan MyKad baru dengan nama baharu (nama Cina) serta memadamkan ‘Agama Islam’ dalam kad pengenalannya.

Wanita yang diwakili peguam Dr. Shamsher Singh Thind menamakan Ketua Pengarah JPN, Kerajaan Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) selaku responden pertama hingga ketiga. Responden pertama dan kedua diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly manakala Mais diwakili peguam, Datuk Kamaruzzaman Muhammad Arif.

Menurut afidavit ejen insurans itu, bapanya yang asalnya beragama Buddha telah memeluk Islam sekitar 1990 dan turut telah menukar agama pemohon pada tahun sama ketika dia berusia 10 tahun. Ibu bapa pemohon bercerai pada 1993.

Pemohon mendakwa ibunya seorang penganut ajaran Buddha tidak pernah memberikan kebenaran kepada bekas suaminya untuk menukar agama anak mereka dan pemohon sendiri mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam serta merupakan penganut agama Buddha.

“Ketika berusia 21 tahun, pemohon telah memohon kad pengenalan gantian yang mana pada kad baharu itu tertulis agama pemohon sebagai Islam. Hanya selepas 25 tahun menggunakan kad pengenalan yang memaparkan dirinya ‘Islam’, pemohon memohon kad pengenalan baharu bagi menggantikan nama lama dengan nama baharu (nama Cina) dan menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalan tersebut.

“Mahkamah ini tidak boleh memberikan pengisytiharan bahawa pemohon adalah penganut agama Buddha apabila terdapat bukti dokumen yang menunjukkan dia telah ditukar agamanya ketika berusia 10 tahun. Fakta tetap menunjukkan ibunya tidak pernah mencabar pengislaman itu pada ketika kejadian. 

“Adalah dapatan mahkamah ini bahawa kes ini bukanlah satu kes yang mana pemohon tidak pernah menjadi seorang Muslim,” kata hakim itu.

Tambah hakim tersebut, Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan perkara-perkara berkaitan dengan agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh menceroboh ruang lingkup eksklusif Mahkamah Syariah dalam membuat keputusan berkaitan agama Islam.

“Adalah tidak wajar untuk mahkamah ini sebagai Mahkamah Sivil menentukan kesahihan penukaran agama itu atau sama ada seseorang itu seorang Muslim atau tidak kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada perintah deklarasi agar Mais memadamkan nama pemohon dalam Daftar Mualaf, Hakim Noorin memberitahu, mahkamah tidak boleh mengeluarkan perintah sedemikian kerana ejen insurans itu tidak pernah mengemukakan permohonan kepada pihak yang relevan iaitu Bahagian Pendaftaran Mualaf.

Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah pihak responden bahawa tanggungjawanb untuk memadamkan nama pemohon dalam daftar mualaf itu tidak terletak kepada Mais.

“Sebagaimana pemohon mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama pilihannya, pemohon juga tidak dinafikan remedi dalam perundangan sedia ada bagi membolehkan dia tidak lagi dianggap seorang Muslim. Saluran yang sepatutnya digunakan ialah di Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi beragama Islam,” kata Hakim Noorin sebelum menolak permohonan tersebut tanpa sebarang perintah mengenai kos.

Ejen insurans tersebut antara lain memohon perintah mandamus untuk kerajaan Malaysia supaya memastikan ketua pengarah JPN mematuhi perintah mahkamah.

Dia juga memohon perintah mandamus supaya Mais menghapus namanya daripada Pendaftaran Muallaf (mualaf Muslim) dan juga untuk membatalkan kad masuk Islam yang dikeluarkan atas namanya bertarikh Oktober 1990. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya