MELAKA: Kira-kira 200 penduduk di sebuah pangsapuri di Gajah Berang di sini berdepan detik cemas apabila dua warga Afrika bergaduh menggunakan kapak dan parang, sehingga menyebabkan kecederaan, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, kedua-dua suspek dipercayai pelajar sebuah universiti swasta bagaimanapun didakwa telah menghilangkan diri selepas kejadian.
Menurut seorang saksi juga penjaga parkir yang hanya ingin dikenali sebagai Yan, 41, berkata, dia terkejut selepas melihat suspek turun dari tingkat dua pangsapuri itu dalam keadaan berlumuran dadah dengan masing-masing membawa kapak dan parang.
“Saya nampak badan mereka berdua berlumuran darah sambil menjerit-jerit memegang kapak serta parang.
“Pergaduhan itu berlangsung selama 10 minit sebelum salah seorang daripada mereka meninggalkan lokasi menaiki Proton Persona bersama seorang perempuan dipercayai isterinya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Tambahnya, seorang lagi suspek juga dilihat beredar menaiki sebuah kereta lain yang sudah menunggunya di luar pangsapuri.
Ujarnya, salah seorang suspek telah menyewa di pangsapuri itu sejak tujuh bulan lalu bersama-sama isterinya.
Difahamkan pergaduhan itu berpunca daripada masalah kewangan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi menemukan kesan darah di sepanjang kaki lima pangsapuri tersebut, manakala pengumpulan bahan bukti sedang dilakukan oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.UTUSAN