KLANG: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Rantau Panjang di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu turut mengakibatkan kemusnahan tujuh motosikal di satu daripada rumah berkenaan. Kedua-dua keluarga itu bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.15 pagi.
Katanya, sepasukan 16 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Kapar dan Kota Raja dikerah dalam operasi berkenaan.
“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati api sedang marak memusnahkan dua rumah berkenaan. Menerusi beberapa jentera bomba, kita membuat pemadaman menyeluruh dan berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.39 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Jelas Norazam, kebakaran memusnahkan sepenuhnya dua kediaman itu termasuk tujuh motosikal pelbagai jenis.
“Namun, dua keluarga yang menghuni rumah berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan. Kesemua mangsa masing-masing terdiri daripada tiga dan enam sekeluarga termasuk kanak-kanak,” ujarnya.
Tambah Norazam, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 12.15 tengah hari tadi.
“Punca sebenar kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya., – UTUSAN