Dua pekerja kilang warga Bangladesh didenda RM5,000 rasuah polis

Dua pekerja kilang warga Bangladesh didenda RM5,000 rasuah polis

MIA Md. Somon (kiri) dan rakannya, Ali Alhaj didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas kesalahan memberi rasuah kepada anggota polis. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua pekerja kilang warga Bangladesh masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memberi rasuah kepada anggota polis, November lalu.

Hakim M. Bakri Abd. Majid menjatuhkan hukuman itu selepas Ali Alhaj, 30, dan Mia Md Somon, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan kepada mereka dalam bahasa Hindi.

Kedua-dua tertuduh turut berhadapan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah RM100 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa memberi suapan wang tunai RM100 kepada Koperal Mohd. Fuad Johari yang bertugas di Balai Polis Jelapang sebagai balasan melepaskan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan RHB Bank cawangan Silibin pada pukul 10.30 pagi, 16 November 2021.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak sampai dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN