Dua kelompok boleh abaikan pautan janji temu dos penggalak - Utusan Malaysia

Dua kelompok boleh abaikan pautan janji temu dos penggalak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menegaskan dos penggalak Covid-19 hanya diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas dan tiada dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan kepada umum.

Unit MySejahtera dalam satu kenyataan menyebut, terdapat isu teknikal apabila sistem tersebut menghantar pautan janji temu untuk dos penggalak kepada remaja, iaitu golongan berusia 17 tahun dan ke bawah, malah ada juga individu dewasa yang sudah pun menerima dos penggalak, turut menerima pautan janji temu untuk dos itu.

“Pasukan teknikal MySejahtera sedang memperbetulkan perkara ini dan memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul daripada masalah teknikal ini.

“Bagi mengatasi masalah yang berlaku, individu berikut diminta mengabaikan pautan janji temu iaitu ibu bapa atau penjaga kepada remaja berusia 17 tahun dan ke bawah yang menerima pautan janji temu dos penggalak untuk remaja di bawah jagaan dan individu dewasa yang telah mendapat dos penggalak tetapi masih menerima pautan janji temu baharu,” katanya hari ini.

Kenyataan itu juga menyebut, sekiranya mereka telah membuat janji temu dos penggalak untuk tanggungan atau untuk dos keempat melalui pautan yang dihantar, janji temu tersebut boleh dibatalkan dan tidak perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Malah semua PPV telah dimaklumkan tentang perkara ini serta akan menolak kehadiran remaja untuk dos penggalak dan juga individu yang hadir untuk dos penggalak kedua atau dos keempat,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Online melaporkan sebanyak 15,425,524 atau 65.6 peratus daripada populasi individu dewasa di negara ini menerima dos penggalak Covid-19, setakat Khamis lalu.

Berdasarkan laman CovidNow, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,841,412 atau 91.3 peratus daripada populasi itu lengkap suntikan vaksinasi manakala 2,940,403 atau 94.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sejumlah 1,221,990 atau 34.4 peratus individu menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya