KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) terus mengkukuhkan kedudukan di Sabah dengan penyertaan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini.
Dua bekas ADUN DAP itu ialah ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yun Bin dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun yang mengesahkan penyertaan ke dalam Warisan berkuat kuasa hari ini.
Justin berkata, penyertaannya ke dalam Warisan kerana keyakinan beliau terhadap kepemimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang konsisten dan komited memperjuang hak Sabah sebagai rakan sekutu Semenanjung Malaysia.
Katanya, keputusannya keluar daripada DAP kerana parti itu dilihat mula hilang hala tuju malah, laporan akhbar baru-baru ini menyatakan DAP Sabah memberi sokongan kepada Ketua Menteri.
Sementara itu, Calvin berkata, keputusan yang diambil bagi menyertai Warisan bukan untuk diri sendiri sebaliknya atas kepercayaan Warisan sebagai pembangkang sebenar seperti rakyat inginkan.
Malah, jika dilihat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Warisan menang paling banyak kerusi dan itu membuktikan kemahuan rakyat.
Dua bekas ADUN DAP itu mengumumkan keluar DAP pada 20 Januari lalu setelah hilang keyakinan terhadap kepimpinan DAP negeri yang disifatkan mula kehilangan hala tuju selaku pembangkang. – UTUSAN