IPOH: Dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba hari ini digerakkan ke tapak kuari di Keramat Pulai di sini, bagi mengesan dua mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan batu sejak 8 Mac lalu.
Timbalan Komander Operasi II Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat berkata, struktur batu dan runtuhan yang agak stabil dan tidak membahayakan anggota penyelamat, membolehkan K9 dibawa masuk bagi membuat pencarian pada operasi hari ke-21.
Katanya, setakat ini operasi mencari dua pekerja kuari itu menunjukkan petanda positif.
“Pagi tadi, pencarian K9 menunjukkan minat pada satu spot (titik), cuma ia tidak berapa kuat. Jadi, kita akan gerakkan anjing itu sekali lagi petang ini namun ia bergantung kepada keadaan cuaca.
“K9 akan diatur gerak selepas kerja-kerja menggerudi lubang di spot berkenaan diperluaskan sedikit untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media pada 19 Mac lalu melaporkan, pasukan penyelamat telah mengenal pasti jangkaan kedudukan dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari berkenaan.
Kerja-kerja penggalian dan penebukan bongkah batu membabitkan kawasan seluas sembilan meter persegi dengan kedalaman 11 meter itu dijalankan dengan menggunakan mesin gerudi.
Kerja-kerja itu dipantau sepenuhnya oleh Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat dan pekerja syarikat kuari.
Mengulas lanjut Umrani memberitahu, kerja-kerja penebukan bongkah batu masih dijalankan di kawasan jangkaan mangsa berada.
“Operasi menggerudi akan diteruskan bagi mengesahkan kedudukan sebenar jengkaut yang turut tertimbus. Tiga buah jengkaut digunakan bagi mengeluarkan timbunan runtuhan bongkah batu,” katanya.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN