Dua anggota MPV terselamat kereta terperangkap banjir

Dua anggota MPV terselamat kereta terperangkap banjir

KERETA MPV polis yang ditenggelami banjir di Jalan Kuchai Lama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua anggota kereta peronda polis (MPV) terselamat selepas kenderaan mereka ditenggelami banjir dalam Jalan Kuchai Lama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, anggota berkenaan dari Cawangan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, ketika kejadian, anggota berkenaan sedang berhenti untuk solat Zohor di Pondok Polis Kuchai Lama.

Kata beliau, bagaimanapun, hujan telah turun dengan lebat serta ribut petir secara tiba-tiba.

“Anggota MPV tersebut telah berusaha untuk keluar dari tempat bencana namun tidak berjaya kerana terdapat halangan dari kenderaan-kenderaan lain yang turut sama terperangkap di tempat becana.

“Paras air telah naik secara mendadak menenggelami paras tayar kereta dan menyebabkan mereka keluar dari MPV untuk menyelamatkan diri kerana kenderaan mula dihanyutkan oleh arus air banjir yang deras,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Amihizam, susulan kejadian itu, kedua-dua anggota berkenaan dengan segera memaklumkan kejadian pada Pusat Kawalan IPD Brickfields untuk tindakan selanjutnya.

“Justeru itu, pihak Polis menyeru kepada semua agar berhati-hati memandu kenderaan masing-masing terutama semasa musim hujan. Sila patuhi undang-undang jalan raya serta mengikut arahan pihak Polis sekiranya terdapat lencongan atau penutupan jalan dibuat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, sebanyak lapan lokasi di sekitar ibu negara terjejas terus susulan hujan lebat petang ini.

Antara lokasi terlibat iaitu Jalan Kuchai Lama berhadapan Faiz Residence diikuti Jalan Air Keroh-Air Panas, Setapak; Jalan Leboh Ampang, Taman U-Thant Jalan Ampang, Taman Sri Petaling, Jalan Cheras Batu 2 1/2 dan Kampung Periok, Kampung Baru dekat sini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memberitahu, dalam kejadian di Jalan Kuchai Lama, sebanyak 12 kenderaan telah ditenggelami air.

Kata kenyataan itu, mangsa yang terperangkap telah berdiri di atas bumbung kenderaan sebelum diselamatkan pihak bomba ke tempat yang selamat.

“Operasi tersebut berada dalam keadaan terkawal. Dalam kejadian di Jalan Cheras pula, sebanyak 40 murid dan guru sebuah taska telah diselamatkan selepas kawasan premis itu dinaiki air. Keadaan kini juga dilaporkan stabil.

Mengulas lebih lanjut mengenai beberapa lagi lokasi yang terjejas, kenyataan itu menambah, tindakan pemantauan giat dilakukan agar memastikan mangsa yang terlibat berada dalam keadaan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya