Dr. Akmal nafi krisis dalaman kerajaan negeri Melaka - Utusan Malaysia

Dr. Akmal nafi krisis dalaman kerajaan negeri Melaka

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh menjadi Exco pertama menafikan spekulasi konflik dalaman jawatan Ketua Menteri yang kini didakwa sedang melanda kerajaan negeri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, tiada gerakan dalam kalangan 21 ADUN Barisan Nasional (BN) untuk mengganti kepemimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Katanya, beliau menyatakan sokongan penuh kepada ADUN Lendu itu sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 dan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Tegasnya, sebarang keputusan mesti dibuat oleh parti dan setakat ini tiada apa-apa perubahan yang berlaku.

“Jika benar khabar angin yang mengatakan Datuk Sulaiman sudah tidak mendapat sokongan, maka sudah tentu Ketua Menteri hari ini adalah orang lain.

“Tetapi hari ini beliau masih lagi Ketua Menteri dan Datuk Ab. Rauf adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Sekarang ini kita hendak bekerja untuk rakyat dan biarlah pihak pembangkang bercakap soal politik.

“Itu hak mereka dan kami hanya fokus untuk bekerja. Berita ini sengaja diperbesarkan oleh pembangkang yang ketandusan isu selepas Ketua Menteri membentangkan pencapaian cemerlang aku janji 100 hari pentadbiran BN,” katanya ketika dihubungi.

Muhamad Akmal berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa, kedudukan Sulaiman goyah berikutan wujud cubaan untuk menjatuhkan beliau oleh ADUN kerajaan sendiri.

Sulaiman dan Ab. Rauf selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, dan Pembangunan Usahawan negeri kini berada di luar negara kerana menghadiri Expo Dunia 2020 Dubai.

Dalam pada itu, ADUN Ayer Keroh daripada DAP, Kerk Chee Yee berkata, kesemua 21 ADUN kerajaan perlu menyatakan pendirian secara terbuka, sama ada menyokong kepemimpinan Sulaiman bagi membuktikan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kini, hanya bulan keempat kerajaan baru negeri Melaka ditubuhkan, jawatan Ketua Menteri Melaka dan pentadbiran kerajaan negeri pula dikatakan dalam krisis.

“Ini menunjukkan bahawa BN adalah hipokrit apabila cogan kata ‘Kestabilan Untuk Kemakmuran” dilaungkan dalam kedua-dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya