doa untuk Ali XPDC

Doa untuk Ali XPDC tidak pernah putus-Pusat Tahfiz Ulumulquran Wal Ahadith

Roslan Ariffin (kiri) bersama Ali XPDC (kanan) dalam pertemuan baru-baru ini. -UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG-Doa dan bacaan yasin tidak pernah putus dari warga Pusat Tahfiz Ulumulquran Wal Ahadith untuk dutanya, Ali XPDC.

Menurut Pengerusinya, Roslan Ariffin, setelah mengetahui keadaan Ali XPDC yang dirawat di sebuah hospital di Ampang pihaknya telah mengadakan majlis doa selamat dan bacaan yasin untuk Ali.

“Semalam dan sebelum itu kami buat solat hajat khusus dan bacaan yasin sewaktu selepas maghrib dan isyak.

“Sekalian warga Pusat Tahfiz Ulumulquran Wal Ahadith sentiasa mendoakan kesejahteraan Ali XPDC yang difahamkan ditidurkan kerana sukar bernafas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ali XPDC, 53, yang dimasukkan ke Hospital Ampang, Jumaat lalu terpaksa ditidurkan hari ini selepas mengalami kesukaran bernafas.

Isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned dalam satu kiriman suara kepada rakannya memohon semua peminat terutama rakan-rakan suaminya melakukan solat hajat dan bacaan yasin untuk kesejahteraan Ali.

Terdahulu, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang, Jumaat lalu apabila tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah.

Mereka berlatih sebagai persiapan untuk Konsert Jualan Hitam 2022 yang akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Banting, esok.

Mengulas lanjut Roslan berkata, Ali XPDC banyak berjasa kepada pusat tahfiz dan dia adalah sebahagian pusat pendidikan tersebut.

“Allahuakbar, Maha Suci Allah SWT ujian buat sahabat dan duta kami, Ali, beliau sahabat kami dunia akhirat.

“Insya-Allah solat hajat dan yasin serta doa akan kami teruskan sehingga beliau diberi kesembuhan oleh Allah SWT, moga-moga Allah perkenankan doa-doa kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya