Dipenjara enam tahun, demi pertahan maruah isteri - Utusan Malaysia

Dipenjara enam tahun, demi pertahan maruah isteri

S. Saravanan hanya mampu menundukkan kepala selepas Mahkamah Tinggi Melaka menjatuhi hukuman penjara enam tahun atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya kerana mempertahankan maruah isteri dan anak-anaknya, seorang pemandu bas dipenjara enam tahun selepas mengaku salah menyebabkan kematian tanpa niat terhadap rakannya dalam satu pergaduhan, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Melaka, Maidzuara Mohammed menjatuhi hukuman itu ke atas tertuduh, S. Saravanan, 44, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh serta mangsa merupakan individu yang memulakan pergaduhan.

Sehubungan itu, mahkamah terdahulu turut memutuskan pertuduhan awal yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan diturunkan kepada Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan bagi pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, tertuduh didapati telah menyebabkan kematian PS. Satiaseelan, 41, dengan mengetahui perbuatannya mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Tindakan tersebut dilakukan tertuduh pada pukul 10.30 malam di Tasek Taman Murai Jaya, Durian Tunggal dalam daerah Alor Gajah pada 6 Ogos 2019.

Sabit kesalahan tertuduh yang mempunyai empat orang anak boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Maidzura dalam hujahnya memberitahu, pihak pembelaan membuktikan tertuduh bukanlah penjenayah memandangkan laporan polis itu dibuatnya sendiri sejurus selepas kejadian, malah anak guamnya juga berada di sisi mangsa sewaktu dibawa ke hospital menaiki ambulans.

“Peguam memaklumkan hubungan tertuduh dengan mangsa adalah kawan sejak 10 tahun dan mangsa yang telah memulakan pergaduhan membabitkan isu maruah isteri serta anak-anak tertuduh. Tertuduh yang ketika itu dalam keadaan mabuk memukul mangsa menggunakan topi keledar dan bukanlah senjata tajam, selain pengadu adalah tertuduh yang membuat laporan polis pada hari sama kejadian menunjukkan dia bukan penjenayah,” jelasnya.

Tambahnya, mangsa juga bertindak melarikan diri daripada hospital ketika dirawat dan tertuduh telah membawa rakannya itu ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan, selain menjaganya dengan membawakan makanan. Bagaimanapun, mangsa telah meninggal dunia akibat jangkitan kuman susulan kecederaan daripada pergaduhan tersebut.

Beliau memberitahu, bagi fakta-fakta khusus kes tersebut, mahkamah menjatuhi hukuman penjara selama enam tahun daripada tarikh ditangkap iaitu 18 Ogos 2019 dan memerintahkan semua ekshibit dilupuskan pihak polis. Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamad Rasad manakala tertuduh diwakili Peguam S. Paul Krishnaraja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya