KUALA LUMPUR: Sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan bertukar tegang apabila M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) menyentuh mengenai kesanggupan politik (political will) kerajaan mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
Kulesagaran mempersoalkan sama ada kerajaan hingga kini tidak sedar mengenai peningkatan kos sara hidup atau tiada kesanggupan politik untuk mengatasi masalah itu ketika kadar gaji minimum disemak setiap dua tahun.
Beliau berkata, kali terakhir semakan gaji minimum dilakukan pada Januari 2020 dan hingga kini, kerajaan masih belum berbuat demikian.
“Kalau negara-negara lain boleh menaikkan gaji minimum pada masa pandemik, apakah alasan kerajaan sekarang tidak mempedulikan orang miskin, orang biasa, orang susah walhal gaji-gaji menteri ini steady selalunya?” Soalnya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan menyelar persoalan tersebut dan meminta Kulasegaran supaya tidak memberi ceramah politik kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah tamat.
Katanya, kerajaan dari segi dasar telah bersetuju menaikkan gaji minimum RM1,500, namun, kerajaan perlu mengkaji pelbagai aspek kerana situasi semasa dengan usaha menurunkan kadar pengangguran disifatkan sebagai luar biasa.
“Dalam masa terdekat, kerajaan akan umumkan gaji minimum, bukan atas desakan mana-mana pihak tapi atas usaha kerajaan sendiri,” katanya.
Selepas itu, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) tampil mencelah dan mengimbas pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH), menyaksikan Kulasegaran yang menerajui Kementerian Sumber Manusia sendiri tidak dapat melaksanakan gaji minimum.
“Dia (Kulasegaran) jadi menteri 22 bulan, kalau dia hebat sudah buat (gaji minimum masa itu) tetapi tidak buat juga. Jadi, mesti ada kekangannya. Masa dia jadi menteri, Ipoh Barat patut selesaikan kalau ada political will yang disebutkan,” katanya.
Kulesagaran pula membalas celahan tersebut dan berkata: “Kita (PH) ada political will lah. Setiap tahun RM100 (kenaikan gaji minimum)”. – UTUSAN